SHAH ALAM: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi membatalkan dua pertuduhan dihadapinya di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan peguamnya, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi kepada Hakim Datuk Aslam Zainuddin dalam sebutan kali pertama selepas prosiding tersebut dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
“Pihak pembelaan akan menghantar representasi kepada Peguam Negara (AG) dalam tempoh terdekat ini. Oleh itu, pihak pembelaan memohon untuk satu tarikh sebutan bagi status representasi ditetapkan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob kemudia memaklumkan pihaknya tidak membantah permohonan tersebut, namun memohon mahkamah menetapkan terus tarikh-tarikh perbicaraan.
“Dalam tempoh itu, pendakwaan percaya pihak pembelaan boleh kemuka representasi dan ada pada masa sama representasi itu boleh diteliti peguam negara. Jadi kami mohon mahkamah menetapkan tarikh-tarikh perbicaraan,” ujarnya.
Sementara itu, dalam prosiding sama, Abdul Malik memberitahu seramai 10 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan.
Hakim Aslam kemudian menetapkan tarikh 3 Mei ini untuk sebutan semula serta pada 22, 23, 26, 29 dan 30 Julai serta 5, 6, 9, 12 dan 13 Ogos bagi perbicaraan.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengekalkan pengakuan tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya sekali lagi.
Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Sanusi, 50, didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pukul 11 malam pada 11 Julai 2023.
Justeru kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 1 Februari lalu, Muhammad Sanusi berjaya dalam permohonannya untuk memindahkan dua pertuduhan yang didakwa ke atasnya untuk dibicarakan dari Mahkamah Sesyen Selayang ke Mahkamah Tinggi di sini. – UTUSAN










