KLANG: Syarikat Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dilapor menerima surat penganugerahan (LOA) daripada Kerajaan Negeri Selangor menerusi tandatangan perjanjian persefahaman (MOU) dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) bagi projek pembinaan Stadium Shah Alam pada Selasa lepas.
LOA tersebut merupakan persetujuan peringkat pertama bagi kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam sebelum persetujuan seterusnya dijangka ditandatangani pada akhir tahun ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, susulan persetujuan tersebut, kontraktor yang dilantik boleh memulakan kerja-kerja perobohan stadium pada bila-bila masa dan dijangka selesai seawal enam atau tujuh bulan.
“Tetapi, ia (MOU) sudah ditandatangani, saya rasa sama ada hari ini, esok atau lusa, mereka akan mulakan. Sudah (MRCB dapat LOA) kita sudah tandatangan perjanjian di antara pihak kerajaan negeri dengan MRCB.
“LOA kepada MRCB diberikan semasa kita tandatangan untuk perobohan. Kita sudah tandatangan perjanjian dengan MRCB untuk kerja perobohan. Jadi, kita ada masa lagi untuk selesaikan pembinaan.
“Sebaik perkara ini selesai (roboh), pembinaan kita boleh jangka kita akan selesai dengan perjanjian dengan MRCB. Berkenaan MRCB umum kepada Bursa berkaitan penerimaan projek stadium, Kena tanya dia (MRCB),” katanya kepada pemberita, hari ini.
Terdahulu, beliau dilapor mengumumkan pemeteraian MOU antara MBI dengan MRCB bagi kerja-kerja pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang menandakan kerja-kerja fizikal akan dimulakan setelah melalui proses perancangan dan prosedur rapi.
Menurutnya, proses perobohan akan dimulakan dengan pemasangan dinding adang diikuti proses merungkai struktur sedia ada yang dijangka memakan masa sehingga pertengahan tahun hadapan.
Dalam pada itu, Amirudin turut memberi jaminan terhadap pemindahan peniaga-peniaga di tapak Pasar Stadium Shah Alam serta Bazar Ramadan Stadium Shah Alam yang akan bermula pada Mac ini.
“Itu kita ada strategi dan perancangan, ia tidaklah berjalan serentak, sebab itu kita fikirkan kalau the best solution kita pakai bom, tetapi ia akan beri kesan kepada seluruh Seksyen 13.
“Kedua, kita kena alihkan pasar-pasar pagi dan sebagainya, semua itu protected dan ada dalam planning kita dari semasa ke semasa saya akan maklumkan. Ada tapak pasar di kawasan berhampiran,” jelasnya. – UTUSAN










