HULU TERENGGANU: Seorang bapa sanggup meredah dan bermalam di dalam hutan sehingga seminggu demi mencari ikan kelah merah di kawasan sungai sebagai sumber pendapatan.
Mohd. Marzuki Abd. Ghani, 45, dari Kampung Pasir Dula di sini, berkata, dia mula menjual ikan kelah merah sejak lebih 10 tahun lalu dan melihat potensi yang ada dia berhenti kerja sebagai pemotong rumput.
Menurutnya, pada peringkat awal, dia sekadar tangkap dan jual sahaja namun tiga tahun kebelakangan ini turut memelihara sebagai koleksi bagi dijadikan induk.
“Biasanya saya ke sungai di kawasan hutan sekitar daerah ini bermotosikal dengan ditemani seorang atau dua rakan. Bermalam di sana sehingga seminggu perkara biasa.
“Demi seekor ikan, ada ketikanya saya menyelam bermula pukul 9 malam sampai ke waktu subuh. Kalau rezeki memihak, dapat ikan dan ada waktunya juga sekadar balik tangan kosong.
“Walaupun banyak cabaran, namun ia tidak lemahkan semangat apatah lagi ekonomi keluarga semakin meningkat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Dula di sini, semalam.
Tambah Mohd. Marzuki yang merupakan bapa kepada tiga orang anak, ikan-ikan yang dicari serta dibiaknya untuk induk dijual kepada pelanggan mengikut saiz dan kilogram dengan harga sekitar RM3,500 hingga RM6,000 seekor.
“Ikan kelah bersaiz kecil iaitu kira-kira lima sentimeter pula dijual RM30 seekor. Sejak tiga tahun lalu, saya biak baka kira-kira 40 ekor ikan kelah merah.
“Saya menggunakan air bukit bagi kolam ternakan ikan kelah saya dan turut memberikan duku serta lobak sebagai makanan kepada ikan-ikan yang dipelihara,” ujarnya.
Katanya lagi, dia turut mengharapkan Jabatan Perikanan dapat membantunya dalam memajukan lagi usaha yang sedang dilakukannya itu. – UTUSAN










