Razlan sedia runding guna semula Velodrom Cheras

Razlan sedia runding guna semula Velodrom Cheras

RAZLAN Razali (duduk depan, tengah) dilantik sebagai Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL) bagi tempoh dua penggal sehingga 2026. – IHSAN PBKL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden baru Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL), Datuk Razlan Razali akan berusaha untuk memastikan badan induk itu dapat menjadikan Velodrom Cheras sebagai kediaman rasmi mereka semula.

Razlan menjelaskan, beliau per­lu meneliti dahulu status Velo­drom Cheras itu sebelum me­mulakan proses rundingan dengan pemilik tanah, Jakel Group.

Jakel telah pun memberikan kebenaran buat PBKL untuk mengadakan latihan di Velodrom Cheras sejak 2021, dan segala kos penyelenggaran dan penjagaan bangunan itu diuruskan oleh PBKL.

Bagaimanapun PBKL tetap risau seandainya kebenaran itu akan ditarik balik sekiranya Jakel berhasrat untuk membina bangunan komersial di tapak velodrom berkenaan.

“Saya sedar ini adalah antara perkara yang dibincangkan sebelum pelantikan saya sebagai presiden, jadi saya perlu memahami dengan lebih jelas tentang status Velodrom Cheras. Saya tahu pemilik tanah di kawasan itu dan mempunyai hubungan rapat dengan beliau dan kami akan cuba berbincang mengenainya.

“Tempat itu ketika ini masih digunakan oleh Datuk (Ng) Joo Ngan sebagai tempat latihan skuad berbasikal KL dan program pembangunan, tetapi kita akan cuba untuk berbincang mengenai penjagaan velodrom. Yang penting kita perlu tahu hala tuju velodrom itu dan berapa lama tempoh yang kita ada,” jelas Razlan.

Razlan diberikan tanggungjawab memikul sebagai presi­den baru PBKL menggantikan Datuk Saniboey Mohd Ismail selepas menang tanpa bertan­ding dalam pemilihan exco baru badan induk untuk penggal 2024-2026.

Selain penggunaan Velodrom Cheras, antara perkara yang turut menjadi agenda utama Razlan sebagai presiden PBKL adalah mendapatkan lebih ba­nyak penajaan untuk membantu perkembangan pelumba badan induk itu.

“Perkara pertama yang saya mahu gerakkan ketika ini adalah kelangsungan kewangan PBKL dan cuba mendapatkan dana yang mencukupi bagi latihan dan pembangunan untuk Sukan Malaysia (SUKMA).

“Saya akan menggunakan segala pengalaman saya dalam bidang permotoran dan hubungan saya untuk cuba membawa semula kegemilangan dalam PBKL,” tambah Razlan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN