PASIR PUTEH: Jualan sebiji kelapa muda dijangka mencecah sehingga RM7 sebiji menjelang Ramadan tidak lama lagi susulan peningkatan kos upah bagi memetik buah berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang peniaga Rozelin Jaafar, 44, berkata, sebelum ini buah kelapa muda dibeli secara borong dengan harga RM3 sebiji berbanding RM4.50 sebiji ketika ini.
“Kekurangan tenaga mahir untuk kerja-kerja memanjat dan menurunkan kelapa menggunakan tali turut menjadi punca kenaikan harga.
“Perkhidmatan beruk tidak boleh digunakan kerana buah kelapa muda akan pecah tanpa menggunakan ikatan tali. Upah perkhidmatan memetik turut naik RM1 berbanding 50 sen sebiji sebelum ini,” katanya ketika di sini semalam.
Seorang pemilik kebun kelapa, Rozali Mat Nor, 43, memberitahu, kenaikan harga bahan mentah itu sedikit pun tidak menguntungkan petani kerana ia masih dijual pada harga lama iaitu RM2 sebiji kepada orang tengah.
Katanya, hanya pembekal dan penjual runcit menikmati keuntungan dengan menjadikan ketiadaan pemetik kelapa sebagai alasan untuk menaikkan harga jualan.
“Kebanyakan peniaga menjual air kelapa yang sudah dicampur dengan air gula dan ais yang lebih menguntungkan berbanding menjual dalam bentuk biji,” ujarnya. – UTUSAN










