Nanas antara pokok buah yang mudah ditanam walaupun di sekitar kediaman sahaja.
Namun, ramai yang gusar untuk menanam spesies buah-buahan itu kerana takut buahnya masam dan tidak manis seperti yang dibeli di kedai walaupun menanam jenis nanas madu.
Sebenarnya, terdapat dua faktor utama yang mempengaruhi rasa nanas iaitu penggunaan jenis tanah dan teknik pembajaan.
Berkongsi kepada Utusan Malaysia, Penolong Pegawai Pertanian, Unit Tanaman Nanas Pusat Pertanian Putra (PPP) Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohamad Imran Omar berkata, tanah mineral adalah paling sesuai digunakan untuk mendapatkan hasil buah yang manis.
Kongsinya, tanah jenis itu lebih sesuai digunakan berbanding tanah gambut kerana memiliki nilai pH yang lebih tinggi.
Nilai pH tanah adalah ukuran keasidan atau kealkalian tanah.
“Hasil yang manis atau tidak adalah subjektif. Ia bergantung kepada tanah yang digunakan. Kalau guna tanah gambut memang akan ada sedikit kurang daripada segi kemanisan kerana nilai pH bawah 4.5 iaitu berasid tinggi jadi masam.
“Biasanya kemanisan nanas itu bukan bergantung di mana ia ditanam, tetapi berkait dengan jenis tanah digunakan. Tanam di rumah pun rasanya boleh manis jika penggunaan tanah dan baja yang betul,” katanya sambil menambah pH tanah yang sesuai sekitar 5.5 hingga 6.5.
Tambahnya, sebelum menanam, periksa pH tanah yang hendak digunakan atau cara paling mudah adalah gunakan tanah campuran telah siap digaul (tanah + kompos) yang boleh dibeli di nurseri pertanian.
Bagi kawasan penanaman pula, sekiranya tiada ruang yang luas, boleh menanam di dalam pasu atau polibeg yang bersaiz besar.

PEMBAJAAN DAN SALIRAN
Daripada aspek pembajaan, ia perlu dijalankan dengan teliti untuk mendapatkan hasil buah yang berkualiti.
Pembajaan yang kurang akan menjadikan buah tidak manis, manakala pembajaan berlebihan pula akan menyebabkan buah menjadi lebam.
“Selain daripada baja butir NPK 15:15:15 dan NPK 12:12:17:2, ia juga memerlukan foliar juga iaitu sejenis booster untuk hasil yang manis.
“Pastikan juga tahap ketelusan cahaya sekurang-kurangnya melebihi 60 peratus dan paling terbaik 100 peratus memasuki ruang tanaman,” jelasnya.
Selain itu, aspek saliran juga perlu diberi perhatian memandangkan tanaman nanas tidak menggunakan kadar air yang tinggi.
“Oleh itu, elakkan menanam di kawasan yang sering bertakung air kerana nanas akan mudah diserang penyakit reput pangkal jika terdedah pada kawasan ini.
“Jika menanam dalam polibeg, siraman hanya cukup dibuat satu hari sekali seawal pagi pada peringkat awal penanaman,” terangnya.

NILAI PASARAN TINGGI
Mengulas permintaan Nanas MD2 di negara ini, kata Imran, ia mendapat sambutan yang menggalakkan.
Katanya, pasaran nanas jenis ini di Malaysia mendapat sambutan yang tinggi selepas sawit dan durian kerana penggunaan buah nanas yang pelbagai.
Bukan sekadar dimakan secara segar, namun mendapat permintaan dalam penghasilan jus, sambal nanas, jem, kuih, salad buahan, sabun dan banyak lagi.
Tambahan pula, MD2 merupakan buah premium kerana isinya yang sedap akan memberikan rasa ketagihan selain kulitnya yang nipis dan boleh mencecah sehingga empat kilogram (kg) sebiji.
Selain menjadi antara sumber kekayaan baharu negara dalam sektor pertanian, tanaman nanas ini juga mudah dijaga pengusaha kerana ia tidak memerlukan siraman air yang banyak.
Hanya perlu memastikan sistem perparitan yang baik bagi mengelakkan takungan air.
Uniknya, tumbuhan ini akan menghasilkan tiga jenis sulur iaitu sulur angin, sulur tanah dan sulur tangkai yang boleh dijadikan benih tanaman selepas penghasilan buah nanas.











