ALOR SETAR: Kesukaran dihadapi bekas pemain bola sepak Kedah era 90-an, Abdul Rahman Tasu, 61, yang menderita akibat angin ahmar mendapat perhatian ramai pihak setelah mengetahui keadaan terkini beliau.
Keprihatinan mereka termasuk rakan-rakan seperjuangan yang pernah bersama-sama menyarung jersi pasukan Kedah satu ketika dahulu memberi semangat untuk Abdul Rahman kembali pulih.
Isterinya, Asmanida Ismail, 45, berkata, Abdul Rahman kelihatan lebih ceria dan segar berbanding sebelum ini yang sentiasa lesu memikirkan dirinya setelah diserang penyakit itu buat kali keempat sejak 16 September tahun lalu.
“Alhamdulillah, kami menerima pelbagai bantuan sejak kisah kami berdua diketahui ramai, pemberian orang ramai termasuk wang ringgit banyak meringankan beban kami untuk digunakan bagi membiayai kos rawatan suami.
“Ada yang datang menghulurkan bantuan dengan membaiki bumbung rumah dan sebagainya. Melihat keprihatinan rakan-rakan dan orang ramai, suami bersemangat untuk kembali pulih dengan sekurang-kurangnya dapat bercakap,” katanya.
Terdahulu, pasangan suami isteri itu menerima kunjungan Exco Belia dan Sukan negeri Kedah, Muhammad Radhi Mat Din dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Pinang, Datuk Wan Romani Wan Salim.
Mereka turut ditemani Pengurus Besar Econsave Bahagian Utara, Zamzuri Mansor yang menyampaikan bantuan Econsave Prihatin merangkumi keperluan harian Abdul Rahman dan isterinya yang bernilai RM1,500.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Abdul Rahman yang bermain pada posisi penyerang ketika bersama skuad Hijau Kuning kini hanya berkerusi roda dan perlu diuruskan oleh isterinya sepanjang masa.
Dia antara pemain yang berada dalam pasukan Kedah ketika mereka kali pertama menjulang Piala Malaysia menewaskan Singapura pada 1990, selain membantu skuad bola sepak Sukma Kedah memenangi edisi pertama kejohanan itu pada 1986.
Sementara itu, Muhammad Radhi yang turut bertanggungjawab terhadap portfolio Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup berkata, pihaknya sedang berusaha untuk membantu menyediakan peralatan perniagaan bagi diusahakan isteri Abdul Rahman.
“Isterinya sebelum ini terpaksa berhenti kerja bagi memberi tumpuan penuh menjaga Abdul Rahman. Dia menyatakan mahu berniaga kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan seharian mereka.
“Kita juga akan melihat keperluan-keperluan lain dari masa ke semasa dan terima kasih kepada pihak Econsave yang melakukan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada insan memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Romani memaklumkan pihaknya akan menyediakan peruntukan khas bagi melakukan pendawaian elektrik semula di rumah sewa didiami Abdul Rahman dan Asmanida yang kini usang dan dikhuatiri membahayakan pasangan itu. -UTUSAN











