SEPANG: Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) bagi Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) yang bermula hari ini bertujuan menyediakan mekanisme bagi penyasaran semula subsidi diesel yang dijangka diperkenalkan suku kedua tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, projek rintis itu akan dilaksanakan selama dua bulan melibatkan enam syarikat perintis.
Beliau berkata, projek rintis itu juga dilaksanakan bagi menguji keberkesanan Sistem MySubsidi Diesel dan juga sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak sebelum dilaksanakan kepada keseluruhan industri.
“Sebelum pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel ini yang tarikhnya akan ditentukan kelak, kementeerian merintis usaha untuk menguji Sistem MySubsidi Diesel.
“Sistem MySubsidi Diesel akan diguna pakai bersama Sistem Fleet Card syarikat-syarikat minyak dalam pelaksanaan penyasaran subsidi kelak,” katanya ketika ditemui selepas membuat tinjauan pelaksanaan Fleet Card Sektor Pengangkutan Darat (Barangan), di sini hari ini.
Katanya, mekanisme penggunaan Fleet Card itu adalah antara usaha kerajaan untuk beralih daripada Sistem Analog Skid Tank kepada Fleet Card bagi memastikan subsidi secara bersasar dapat dilaksana secara bersepadu selain mengelak ketirisan.
Armizan berkata, dapatan daripada projek rintis ini amat penting bagi memastikan kerajaan mempunyai mekanisme yang ampuh selepas mendapatkan maklum balas daripada industri.
Menurutnya, hasil maklum balas itu kemudian akan dibincangkan Kementerian Kewangan (MoF) sebelum dibentangkan kepada Kabinet.
“Kami bersedia membuka permohonan kepada syarikat-syarikat dari Sektor Pengangkutan Darat (Barangan) sekiranya pemantauan mendapati Projek Rintis SKDS 2.0 itu berjalan dengan baik dalam tempoh sebulan ini.
“Secara keseluruhan, sebanyak 3,792 stesen minyak terlibat dalam Projek Rintis SKDS 2.0 yang boleh digunakan oleh enam syarikat perintis bergantung kepada laluan kenderaan syarikat masing-masing di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya.
Jelasnya lagi, beliau juga akan bertemu dengan agensi penguatkuasa dan kerajaan negeri Sarawak dan kemudiannya ke Sabah pada 9 Februari depan bagi memperkukuhkan mekanisme kawalan dan penguatkuasaan sedia ada.
“Walaupun SKDS 2.0 tidak dilaksanakan di Sabah dan Sarawak tetapi kita berhasrat mahu memastikan tiada ketirisan berlaku termasuk aktiviti penyeludupan,” katanya. – UTUSAN











