Polis terima tiga laporan dakwaan ugutan terhadap Nik Elin

Polis terima tiga laporan dakwaan ugutan terhadap Nik Elin

NIK Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman keluar dari Mahkamah Persekutuan Putrajaya. -UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima tiga laporan berhubung dakwaan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang menerima ugutan ekoran tindakannya mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, ketiga-tiga laporan polis itu daripada daripada Nik Elin Zurina berkaitan tindakannya memfailkan petisyen untuk memohon deklarasi daripada Mahkamah Persekutuan bahawa 18 Seksyen dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan adalah tidak berpelembagaan kerana kesemua seksyen tersebut telah digubal dalam undang-undang Persekutuan.

Katanya, laporan polis berkenaan disiasat dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Satu kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untun mendapatkan arahan lanjut manakala dua lagi kertas siasatan masih dalam siasatan pihak polis.

“Pihak polis memohon bantuan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Allaudeen, pihak polis ingin memberi nasihat kepada orang awam supaya tidak mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan di media sosial.

Jelasnya, sekiranya ingkar, tindakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjarq selama tidak melebihi dua tahun.

“Tindakan juga boleh diambil mengikut Seksyen 243 Akta Komunikasi dan Multimedia yang boleh dihukym dengan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya boleh diambil ke atas suspek terlibat.

Semalam, Nik Elin Zurina memaklumkan beliau menerima beberapa ugutan bunuh susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Malah, katanya, beliau turut membuat tiga laporan polis berhubung ugutan yang diterimanya itu.

“Banyak ancaman dalam hidup saya, begitu juga serangan melalui dalam talian lain dan (ancaman untuk) ‘sembelih’ saya.

“Saya sudah tak ingat berapa banyak ancaman yang diterima kerana semua individu ini tidak faham,” katanya.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan dalam satu keputusan bersejarah mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan Nik Elin Zurina dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×