PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan Datuk Peter Anthony mengemukakan bukti baharu untuk digunakan dalam rayuan akhirnya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 kerana kesalahan pemalsuan dokumen.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azizul Azmi Adnan membenarkan permohonan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu selepas pihak pendakwaan tidak membantahnya.
Bukti baharu itu berhubung laporan polis yang dibuat oleh saksi pendakwaan ketiga yang juga rakan Peter, Mohd. Shukur Mohd Din. Pada prosiding itu, peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan dan Emile Ezra Md. Hussain mewakili Peter manakala Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Mohd. ‘Afif Ali dan Haresh Prakash Somiah mewakili pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan esok untuk pengurusan kes manakala rayuan akan ditetapkan pada satu tarikh lain. Sementara itu, Wan Shaharuddin ketika ditemui pihak media di luar mahkamah memaklumkan, mereka tidak membantah kerana berpendapat bukti tersebut tiada kaitan dengan rayuan.
Peter merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 April 2023 yang mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan Sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), hampir 10 tahun lalu.
Hakim Datuk Ahmad Bache menolak rayuan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 26 Mei 2022. Hakim Azura Alwi turut memerintahkan Peter menjalani hukuman penjara 15 bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah Tinggi ketika itu berpuas hati, tiga saksi utama pendakwaan adalah kredibel dan bukan rakan sejenayah manakala kerjaya dua daripada mereka turut terjejas selepas dikenakan tindakan tatatertib oleh UMS.
Mereka ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shariff Abdul Kadir S. Omang (SP8), Pendaftar UMS, Lt. Kol (K) Datuk Abdullah Mohd. Said (SP9) dan Mohd. Shukur. Mahkamah berpendapat, tiada bukti menunjukkan saksi-saksi berkenaan berbohong kerana keterangan mereka konsisten dan tidak bercanggahan di antara satu sama lain.
Pada hemat Hakim Ahmad, mereka digunakan oleh perayu untuk mencapai hasratnya sehingga beranggapan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS adalah untuk kepentingan universiti itu, walhal ia sebenarnya untuk kepentingan peribadi tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Peter, 53, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd., didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014. – UTUSAN










