Pesawat terhempas: Ahli keluarga, kenalan beri penghormatan akhir - Utusan Malaysia

Pesawat terhempas: Ahli keluarga, kenalan beri penghormatan akhir

Pesawat terhempas
SUASANA di luar pekarangan Pusat Krematorium Nirvana Shah Alam di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jasad juruterbang pesawat ringan yang terhempas dalam kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar diletakkan sementara di pusat Krematorium Nirvana Shah Alam, di sini bagi membolehkan ahli keluarga dan kenalan memberikan penghormatan terakhir.

Difahamkan, jasad mendiang Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, dibawa ke krematorium itu bagi upacara pembakaran sebelum di bawa ke Pulau Pinang esok untuk disemadikan di sana.

Lebih 50 ahli keluarga dan kenalan mendiang turut menghadiri upacara itu yang bermula kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.

Dalam tinjauan Utusan Malaysia di sana, suasana pilu menyelubungi bilik krematorium itu, bagaimanapun usaha menemubual keluarga mendiang gagal kerana masih bersedih dengan tragedi berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan mengenai urusan pengebumian di krematorium tersebut.

Proses bedah siasat yang dijalankan selesai pukul 12 tengah hari semalam mendapati punca kematian dua mangsa termasuk pembantu juruterbang, mendiang Roshaan Singh Raina, 43, akibat pelbagai kecederaan.

Kelmarin, mayat mereka ditemukan terbenam sedalam dua meter di dalam kokpit bangkai pesawat model BK 160 Gabriel tersebut, kira-kira pukul 2 petang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan yang terhempas itu melibatkan dua mangsa.

Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 1.28 bagi penerbangan rekreasi. Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN