PETALING JAYA: Para pengusaha bas dan kantin sekolah mendakwa berhadapan dengan kenaikan kos operasi menjelang pembukaan sesi sekolah baharu pada Mac ini.
Bagaimanapun pengusaha bas yang dekat ekosistem sekolah memilih untuk terus menggunakan harga lama bagi memastikan kesejahteraan pelajar dan ibu bapa walaupun sedang ditekan pelbagai kos.
Presiden Gabungan Persatuan Bas Sekolah Malaysia (GPBSM), Mohd. Rofik Mohd. Yusof mendakwa para pengusaha bas berhadapan dengan kenaikan kos operasi sehingga 20 peratus.
Kata beliau, kenaikan tersebut membuatkan ramai pengusaha menjadi resah namun tidak boleh menaikkan yuran tambang yang kini dalam lingkungan RM50 ke RM80 bergantung pada jarak rumah ke sekolah dan silibus persekolahan.
“Perkhidmatan bas sekolah memang diteruskan seperti biasa dan tidak ada langsung isu kenaikan yuran kerana ia merupakan tambang regulasi. Jadi saya mohon pihak ibu bapa bincang baik-baik dengan pengusaha mengenai isu tambang supaya ada situasi menang-meang untuk kedua-dua pihak.
“Rata-rata memang sedang risau sebab caj insurans sudah naik, kos penyelenggaran iaitu dari segi tayar dan alat ganti pun turut naik. Malah, khabar mengatakan minyak subsidi yang kemungkinan diberhentikan pun menjadi kebimbangan kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Mohd. Rofik berkata, pengusaha bas juga menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pemandu sehinggakan 80 peratus daripada mereka menggalas tanggungjawab tersebut bagi memastikan kelangsungan operasi.
“Sekarang pengusaha sendiri menjadi pemandu bas sebab lebih ramai individu memilih untuk bekerja sebagai pemandu lori kerana boleh mendapat pendapatan lebih lumayan berbanding bas sekolah.
“Malah, semasa negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kebanyakan pemandu bas sekolah yang tidak boleh bekerja berpindah ke dalam industri lori. Jadi kesannya berterusan sehingga sekarang,” katanya.
Sementara itu, presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khairudin Hamzah berkata, banyak dalam kalangan pengusaha sudah menjangkakan kenaikan kos yang tinggi dan meletakkan sebut harga setimpal bagi menampung kos operasi pada jangka masa panjang.
“Namun, sekiranya berlaku lagi kenaikan yang melampau daripada apa yang dijangka, kenaikan harga makanan memang tak dapat dielakkan lagi,” katanya.
Jelasnya, kenaikan harga akan berlaku setiap kali kontrak baru dimeterai dan kebiasaannya kontrak tender kantin dibuat selama tiga tahun.
“Jadi selama tempoh tersebut, sepatutnya harga tidak berubah kerana mengikut sebut harga yang,” katanya. – UTUSAN










