Penghadang dipindahkan ke kandang Ebit Lew

Penghadang dipindahkan ke kandang Ebit Lew

EBIT Lew (tengah) bersama Ram Singh (kiri) semasa tiba di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TENOM: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan penghadang di kandang saksi dibuka dan dipindahkan ke kandang tertuduh dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Keputusan itu dibuat oleh Majistret, Nur Asyraf Zolhani selepas mendengar hujah pihak pembelaan yang meminta mahkamah agar tidak menggunakan penghadang di kandang saksi bagi membolehkan peguam melihat tingkah laku pengadu.

Selepas mendengar hujah daripada pihak pembelaan dan pendakwaan, Mahkamah memutuskan penghadang itu akan dipindahkan ke kandang tertuduh.

Mengenai tingkah laku saksi pula, Majistret menyatakan tertuduh telah melantik tiga hingga empat peguam jadi, mereka sepatutnya boleh menilai tingkah laku dan kredibiliti saksi berkenaan.

Sebelum itu, peguam mewakili Ebit, Datuk Ram Singh memohon kepada mahkamah untuk tidak menggunakan penghadang di dalam mahkamah terbuka kerana ia akan menyebabkan perbicaraan tidak adil.

Ram berkata, selain daripada tingkah laku dan kredibiliti saksi yang boleh diakses oleh Mahkamah, beliau mahu melihat wajah saksi dan bagaimana dia menjawab soalan dikemukakan semasa pemeriksaan balas untuk membolehkan pemeriksaan balas berjalan secara efektif.

Biarpun pemeriksaan balas belum bermula, namun demi keberkesanan pemeriksaan balas maka, beliau mengemukakan permintaan berkaitan penghadang berkenaan.

Permintaan itu juga seiring dengan keputusan yang akan dibuat di Mahkamah Rayuan pada 1 Mac depan berkaitan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dihukum atas kesalahan merogol.

Ram berkata, peguam dalam kes berkenaan, Teh Poh Teik telah mempersoalkan beberapa point termasuk Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan dan keberkesanan pemeriksaan balas oleh peguam.

Untuk itu, pihak pembelaan menggunakan point yang sama dan hukuman bagi pertuduhan kes ini lebih ringan iaitu di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

“Dalam media sosial semalam terdapat liputan meluas mengenai alat sulit anak guam saya. Malah, saya tidak berhasrat melengahkan perbicaraan ini kerana pemeriksaan utama telah berjalan separuh jalan.

“Namun, saya membantah penggunaan penghadang digunakan semasa pemeriksaan balas kerana tujuan pemeriksaan balas adalah menunjukkan kredibiliti dan tingkah laku saksi semasa perbicaraan berlangsung. Maka, saya meminta arahan daripada mahkamah,” katanya di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Permintaan peguam itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad yang berpandangan isu tingkah laku saksi sepatutnya diputuskan oleh mahkamah.

“Isu berkenaan demeanor (tingkah laku) adalah diputuskan oleh Mahkamah. Di dalam kes ini saya menegaskan bahawa Mahkamah boleh melihat dengan jelas demeanor saksi.

“Apabila pihak peguam mempertikaikan demeanor saksi, adakah pihak peguam menyoalkan kredibiliti Majistret.

“Tuan Majistret dengan jelas boleh melihat demeanor saksi di dalam mahkamah dan berkenaan kes Mahkamah Rayuan yang akan diputuskan pada 1 Mac 2024, saya menghujahkan bahawa premature untuk menghujahkan kes tersebut di peringkat ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN