Pencemaran sungai di Kedah berpunca daripada itik, bukan babi

Pencemaran sungai di Kedah berpunca daripada itik, bukan babi

FAHMI Zainol (kanan) meninjau kawasan perparitan atau lokasi pembuangan sisa kumbahan itik baka yang dikatakan mengalir ke dua batang sungai di Kedah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Ladang babi yang disyaki menjadi punca kepada pencemaran dua batang sungai di Kedah iaitu Sungai Kulim dan Sungai Air Merah seperti yang ditularkan semalam rupanya ialah ladang itik baka.

Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkata, perkara tersebut disahkan selepas satu siasatan menyeluruh dijalankan di ladang ternakan haiwan itu di Sungai Lembu di sini.

Fahmi berkata, selain Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, turut-serta dalam siasatan itu ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) serta beberapa agensi lain yang berkaitan.

“Kita pergi ke dua ladang ternakan haiwan hari ini. Ladang pertama iaitu ladang khinzir yang bagaimanapun didapati tidak mempunyai kaitan dengan isu pencemaran itu. Sebaliknya, masalah pencemaran tersebut dipercayai berpunca daripada ladang itik baka yang terletak bersebelahan dengan ladang tersebut.

“Dalam hal ini, kita dapati memang ada ‘direct discharge’ (pelepasan terus sisa kumbahan) daripada ladang itik baka itu ke Sungai Air Merah dan Sungai Kulim. Bagaimanapun, aktiviti tersebut tidak memberi kesan langsung kepada air yang dirawat oleh PBA (PBAPP) kerana lokasinya (kawasan rawatan air) agak jauh iaitu 14 kilometer (km).

“Secara umumnya, perkara ini dilihat memberi kesan kepada alam sekitar sahaja dan bukannya pengguna air di Pulau Pinang atau Kedah,” katanya kepada pemberita selepas melawat kedua-dua ladang ternakan itu di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bahawa JAS Kedah telah mengesan berlakunya kegiatan pelepasan sisa ternakan babi disyaki berpunca dari ladang perkampungan Sungai Lembu yang menyebabkan berlakunya pencemaran Sungai Kulim dan Sungai Air Merah di sana.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab dilaporkan sebagai berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan pencemaran itu Jumaat lalu, sebelum pegawai penyiasat JAS Cawangan Kulim digerakkan bagi mengesan punca kejadian.

Sementara itu, Pengarah JPV negeri, Dr Saira Banu Mohamed Rejab memberitahu, buat masa ini, pihaknya tidak dapat mengambil tindakan terhadap pengusaha ladang ternakan itik baka itu kerana ladang berkenaan belum diletakkan di bawah bidang kuasa JPV berikutan enakmen berkaitan penternakan serta perladangan unggas baru sahaja dikuatkuasakan awal tahun ini.

Bagaimanapun katanya, JPV Pulau Pinang telah menasihatkan pengusaha ladang ternakan itik baka itu untuk memperbetulkan semula saluran keluar sisa kumbahan seberapa segera dengan menggunakan khidmat konsultan bertauliah.

LADANG ternakan itik baka yang terletak bersebelahan ladang ternakan babi dikenal pasti sebagai punca berlakunya pencemaran dua batang sungai di Kedah

“Pada masa yang sama, kami juga akan membuat persampelan air atau sisa kumbahan yang keluar dan mengalir ke sungai-sungai tersebut,” katanya yang memaklumkan, ladang ternakan itik itu telah beroperasi sejak lebih 15 tahun lalu tanpa lesen.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Veterinar daripada Jabatan Kesihatan MBSP, Dr. Mohammad Aklis Azmi pula berkata, pihaknya akan menyemak semula status ladang ternakan itik itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

“Jika didapati ladang tersebut berlesen, maka, kita (MBSP) akan bagi surat tunjuk sebab untuk tarik balik lesen mereka. Bagi aktiviti ‘direct discharge’ itu pula, tindakan boleh diambil di bawah Akta Kerajaan Tempatan iaitu penyaluran sisa tidak dirawat.

“Sabit kesalahan, mereka boleh dikompaun sehingga RM1,000,” katanya yang memberitahu, ketika ini, terdapat 100,000 ekor itik baka di ladang ternakan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN