KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik syarikat didenda RM50,000 dan pekerja didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku salah atas tuduhan pilihan membuat tuntutan palsu di bawah Program Penjana 2.0 Kerjaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tiga tahun lalu.
Pemilik syarikat, Arrie Syahiman Mohd. Zain, 33, dan pekerjanya, Nurul Azwani Mohd. Razali, 37, membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Hakim Mohd. Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan pilihan itu, mereka dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu dokumen Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja di pejabat Perkeso di Kuala Terengganu pada Jun dan Julai 2021.
Tuntutan tersebut bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya berjumlah RM5,300 kepada ejen Perkeso yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu adalah palsu.
Sehubungan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu bernilai keseluruhan RM126,100.
Mereka didakwa mengemukakan tiga dokumen tuntutan palsu masing-masing berjumlah RM81,800, RM39,000 dan RM5,300.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mariah Omar memohon mahkamah menggugurkan tiga pertuduhan tersebut selepas kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah atas tuduhan pilihan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Mariah manakala Arrie Syahiman diwakili peguam, Mohd. Fauzi Razali dan Nurul Azwani pula diwakili peguam, Hayat Muhamad. – UTUSAN










