Pelancongan Terengganu kembali rancak

Pelancongan Terengganu kembali rancak

SEBAHAGIAN daripada pelancong yang mengunjungi Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kadar tempahan penginapan di 36 hotel di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Terengganu menunjukkan peningkatan hingga 80 peratus sepanjang musim cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang bermula kelmarin.

Pengerusi MAH Terengganu, Suaibah Harun berkata, peningkatan tersebut sangat memberangsangkan berbanding purata tempahan pada hari biasa iaitu sekitar 50 hingga 60 peratus.

Menurutnya, ramai pelancong mula datang ke Terengganu berikutan cuaca yang semakin baik di penghujung musim tengkujuh ketika ini.

“Orang ramai juga memanfaatkan cuti yang panjang kali ini untuk mengadakan pelbagai majlis dan aktiviti yang secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan kadar tempahan tersebut.

“Peningkatan ini adalah satu perkembangan positif untuk industri perhotelan dan pelancongan di Terengganu amnya kembali rancak selepas suram akibat musim tengkujuh,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Bagaimanapun, pulau-pulau peranginan di Terengganu masih belum dibuka kepada orang ramai kerana laut yang masih bergelora menyebabkan pelancong tertumpu kepada lokasi di daratan sahaja ketika ini.

Sementara itu, tinjauan di beberapa lokasi tumpuan utama pelancong mendapati jalan raya sesak teruk dengan limpahan kenderaan di sekitar negeri ini seperti dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, Batu Buruk, Kelulut di Marang dan pantai Penarik di Setiu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×