KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengemukakan sekali lagi petisyen pengampunan penuh kepada Yang di-Pertuan Agong.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya akan berbuat demikian pada masa yang sesuai dan menunggu arahan anak guamnya.
“Tiada deadline (tempoh akhir), tunggu masa sesuai, kita akan kemuka pengampunan penuh,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan hukuman ke atas Najib yang diberikan pengurangan bagi penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Ekoran keputusan itu denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, manakala tarikh pembebasannya pada 23 Ogos 2028.
Sementara itu ditanya kemungkinan Najib keluar penjara lebih awal daripada tarikh ditetapkan, Muhammad Shafee berkata, tidak mustahil perkara itu berlaku. – UTUSAN










