Pasar Borong Selangor diserbu lagi - Utusan Malaysia

Pasar Borong Selangor diserbu lagi

Pasar Borong Selangor
ANGGOTA Imigresen menggari tangan warga asing yang ditahan sebelum diperiksa status dan dokumen mereka dalam satu serbuan dekat Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan,Selangor, awal pagi tadi. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan seolah-olah menjadi pusat kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) berterusan apabila sekali lagi diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi pada awal pagi tadi.

Dalam serbuan bermula 4.30 pagi itu, seramai 530 warga asing diperiksa pihak berkuasa sebanyak 139 orang daripada jumlah tersebut ditahan atas pelbagai kesalahan.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Selangor, Aminus Kamaruddin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya membuat risikan selama dua bulan di kawasan tersebut selepas menerima aduan daripada orang awam dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, dalam tempoh tersebut warga asing dikenal pasti berada di situ adalah dari Bangladesh, India, Myanmar dan Indonesia.

“Operasi Pemeriksaan yang dilakukan awal pagi hari ini mendapati, 530 warga asing berada di sana, 139 pula ditahan terdiri daripada warga Myanmar (131), Indonesia (empat), India (tiga) dan seorang warganegara Vietnam.

“Kesemua tangkapan ini akan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Imigresen Selangor untuk saringan melalui sistem jabatan bagi semakan semakan dokumen dan pas sebelum dimuktamadkan proses tangkapan,” katanya, hari ini.

Beliau menambah, kesemua PATI ditahan itu disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tidak mempunyai dokumen yang sah serta Seksyen 15(1)(c) akta sama apabila tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

“Setelah selesai proses ini maka, Laporan Polis bagi penangkapan dan penahanan mereka di bawah Seksyen 51 (5)(b) Akta Imigresen 1959 untuk reman penahanan 14 hari akan dibuat dan kertas siasatan akan dibuka bagi tujuan siasatan yang lengkap untuk dimajukan kepada Timbalan Pendakwa Raya Imigresen,” jelasnya.

Dalam pada itu, kenyataan sama turut memaklumkan seramai 320 pegawai serta anggota dari pelbagai agensi dan jabatan terlibat dalam operasi berkenaan, daripada jumlah tersebut seramai 45 daripada Imigresen Selangor.

“Operasi Penguatkuasaan Imigresen pada hari ini adalah antara siri operasi yang dilaksanakan oleh pegawai penguatkuasa Imigresen Selangor dan siri operasi itu akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959, Akta Pasport 1966 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Imigresen Selangor mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang. Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang PATI dinasihatkan tampil menyalurkan maklumat tersebut kepada Imigresen,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN