Pasangan berlagak samseng atas jambatan didenda

Pasangan berlagak samseng atas jambatan didenda

ONG Ser Ying diiringi oleh beberapa anggota polis ketika tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang. UTUSAN / SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Padah menakutkan penunggang motosikal lain di atas Jambatan Pulau Pinang, sepasang suami isteri akhirnya didenda sebanyak RM2,500 selepas masing-masing mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini hari ini.

Tertuduh, Muhammad Hafiz Ong Abdullah, 50 dan isterinya, Ong Ser Ying, 37, sebelum itu mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa telah menakutkan dua orang lelaki secara jenayah ketika menunggang motosikal di Kilometer (KM) 2.8 Jambatan Pertama Pulau Pinang dari arah Pulau ke Perai, kira-kira pukul 5 petang, pada 5 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang jika sabit kesalahan, kedua-duanya boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala pasangan terbabit tidak diwakili peguam.

Terdahulu, semasa prosiding, kedua-dua tertuduh mengangguk faham akan pertuduhan dan tertuduh wanita juga dilihat memohon maaf berulang kali atas kesalahan yang dilakukannya.

Nor Shakila pada mulanya memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman bersesuaian memandangkan perbuatan pasangan itu boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang juga peniaga makanan meminta denda minimum dikenakan terhadap mereka sebelum mahkamah menetapkan masing-masing didenda sebanyak RM2,500 dan penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan. 

MUHAMMAD Hafiz Ong (kiri) ketika tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang.UTUSAN / SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Sementara itu, Muhammad Hafiz turut didakwa di mahkamah berasingan atas kesalahan trafik mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Rakaman video mengenai perbuatan biadab pasangan suami isteri yang menunggang motosikal secara berbahaya di Jambatan Pulau Pinang itu sebelum ini tular di media sosial.

Dalam rakaman itu, suspek wanita dilihat seperti membaling sesuatu objek dipercayai pasir dan cuba menendang pengguna motosikal yang mahu memotong motosikal ditunggangi suaminya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN