PARLIMEN: Tenaga buruh masih diperlukan untuk tuai sawit

PARLIMEN: Tenaga buruh masih diperlukan untuk tuai buah kelapa sawit

parlimen
JOHARI Abdul Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani berkata, tenaga buruh kasar masih diperlukan untuk menuai buah kelapa sawit, kerana teknologi berasaskan mesin untuk tujuan tersebut masih belum dibangunkan.

Johari berkata ini sebabnya industri minyak sawit sangat bergantung kepada pekerja asing untuk penuaian dan pengumpulan, dengan hampir separuh daripada tenaga kerja adalah khusus untuk proses ini.

“Ia (penuaian) masih memerlukan kerja manual. Kita ada banyak alat (manual) untuk menuai buah tetapi ini memerlukan kepakaran pekerja mahir,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, peralatan yang berasaskan teknologi seperti mesin boleh digunakan untuk tugas lain dalam industri, seperti untuk membaja dan meracun yang boleh guna dron dan sebagainyanya.

Tetapi kata beliau, untuk menuai ia masih bergantung sepenuhnya kepada tenaga manusia.

Beliau berkata demikian  ketika menjawab soalan tambahan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) sama ada kementerian bercadang untuk mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh dalam industri minyak sawit melalui penggunaan teknologi.

Bulan lalu, Johari mengumumkan bahawa hanya sektor perladangan akan dibenarkan mengambil pekerja asing, keputusan yang disampaikan oleh menteri dalam negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas pertemuan dengan Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada 16 Jan.

Johari berkata industri itu menghadapi kekurangan 40,000 pekerja.

Bagi menangani keperluan industri terhadap pekerja asing, Johari berkata, kementerian telah memperkenalkan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional bertujuan melatih warga tempatan menjadi pengait kelapa sawit.

“Kami telah mengenal pasti 60 orang untuk mendaftar dalam kursus ini, dijadualkan bermula pada April dan berakhir pada September. Semoga mereka dapat memberi tumpuan kepada selok-belok penuaian buah-buahan ini.

“Dan apabila kepakaran ini diperoleh, kami boleh menggalakkan lebih ramai orang melibatkan diri dalam penuaian buah kelapa sawit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN