Mutang Tagau dilantik Speaker Dewan Negara ke-20

Mutang Tagal dilantik Speaker Dewan Negara ke-20

MUTANG TAGAL dilantik Speaker Dewan Negara baharu. - GAMBAR FB MUTANG TAGAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas, Datuk Mutang Tagal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20, bagi menggantikan Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang kini merupakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Pelantikan itu berkuatkuasa mulai 15 Februari hingga 14 Februari 2027.

Selain itu, pelantikan tersebut juga menjadikan Mutang sebagai individu pertama dari etnik Lun Bawang yang dilantik sebagai Speaker Dewan Negara.

Beliau juga merupakan calon tunggal yang dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mesyuarat Khas Penggal Kedua Parlimen Ke-15 Dewan Negara.

Anwar ketika mencadangkan pencalonan Mutang berkata, pelantikan bersejarah tersebut merupakan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam mengiktiraf dan memastikan suara, padangan dan perwakilan daripada semua kalangan rakyat diangkat di Parlimen.

Cadangan tersebut kemudiannya disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Ohtman Said.

Mutang pernah berada di Dewan Rakyat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas selama dua penggal pada tahun 1982 sehingga 1990. Beliau kini merupakan Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Orang Ulu (OUCCI).

Mutang ketika berucap sebagai Yang Dipertua Dewan Negara menzahirkan rasa berterima kasih kepada Wan Junaidi atas sumbangannya menggerakkan reformasi berparlimen sepanjang pelantikannya di jawatan tersebut.

Menurutnya, adalah menjadi satu penghormatan kepadanya untuk meneruskan legasi yang telah digerakkan oleh Wan Junaidi sebelum ini.

“Perundangan adalah bidang yang dekat di hati saya, maka pengalaman dan pengetahuan sebagai pengamal undang-undang akan saya gunakan sebaiknya bagi terus memperkasa dan memartabatkan lagi kedudukan Dewan Negara dan Parlimen sebagai badan legislatif di Malaysia seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Saya akan meneruskan agenda transformasi yang telah dirancang termasuk pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen, pindaan-pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, menambah baik peraturan mesyuarat atau standing order dan juga pengwujudan kod etika Ahli Parlimen,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN