KUALA LUMPUR: Lanjutan tempoh 30 hari yang diberikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada ahli perniagaan, Tan Sri Mohkzani dan Mirzan Mahathir wajar kerana memerlukan masa untuk mengisytihar semua harta milik mereka.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, kedua-dua anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu didapati mempunyai harta yang banyak selain perlu meneliti dengan tepat setiap harta yang perlu diisytihar.
Dalam hal ini, harta-harta yang ada perlu perlu diperincikan selain mendapatkan dokumen atau akaun berkaitan.
“Mokhzani ada memohon tambahan masa sebelum ini dan SPRM sudah melanjutkannya selama 30 hari lagi.
“Tempoh yang diberikan itu adalah wajar, berdasarkan penerangan pegawai penyiasat yang menjalankan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CEIO) kali ke-10 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Azam berkata, kedua-dua individu berkenaan memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan.
Ditanya apakah tempoh lanjutan pengisytiharan harta boleh dimohon lagi selepas ini, beliau berkata, permohonan seterusnya boleh dibuat oleh kedua-duanya.
“Namun perkara itu perlu disemak dan dikaji terlebih dahulu oleh pegawai penyiasat,” katanya.
Pada 18 Januari lalu, SPRM mengkehendaki Mirzan mengisytiharkan segala aset alih dan tidak alih yang berada dalam pegangannya sama ada di dalam atau di luar negara dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.
Mokhzani pula disiasat mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001. – UTUSAN










