NIBONG TEBAL: Gara-gara menyebabkan jalan raya kotor hingga mengancam keselamatan pengguna lain, empat kompaun telah dikeluarkan terhadap lori atau kenderaan pengangkut sampah dalam satu operasi bersepadu, di sini kelmarin.
Selain anggota penguatkuasa daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), operasi bersepadu yang dijalankan di sekitar Jalan Changkat itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri.
Menurut MBSP, tindakan tegas dengan mengenakan kompaun itu diambil mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Mencegah Kekotoran Kerajaan Tempatan Seberang Perai 1975 dan keempat-empat kompaun berkenaan dikeluarkan di bawah Seksyen UUK 3(C).
“Dalam hal ini, MBSP ingin mengingatkan pemilik kenderaan pengangkut sampah khususnya di Seberang Perai agar sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Tindakan penguatkuasaan secara berkala seperti ini akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi melindungi keselamatan pengguna,” katanya.-UTUSAN










