PETALING JAYA: Tindakan rejim Zionis melipatgandakan serangan mereka terhadap Palestin menyebabkan beberapa keluarga di sana terpisah dengan ahlinya oleh kerana terperangkap dalam kekejaman tersebut.
Rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron, 38, berkata, keluarga mentuanya antara yang terkesan dan sehingga kini dia tidak dapat menghubungi untuk bertanyakan perkhabaran dan keselamatan mereka.
Menurutnya, sebahagian ahli keluarganya kini berlindung dan hidup di dalam khemah di daerah Al-Mawasi dan beberapa anggota lain masih terperangkap di dalam rumah ekoran Israel melancarkan serangan di kawasan berdekatan.
“Ada ahli keluarga saya terperangkap di dalam rumah, mereka tidak boleh nak berjalan ke khemah tersebut bagi menyertai yang lain kerana di luar Israel sedang melakukan serangan. Ada jiran-jiran yang cuba keluar tetapi mati kena tembak.
“Termasuk hari ini (semalam) sudah masuk empat hari saya tidak dapat hubungi mereka, jadi tidak tahu apa keadaan mereka di sana,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan, kawasan yang menjadi tempat lebih sejuta rakyat Palestin berlindung iaitu Rafah dibedil oleh Israel sehingga menyebabkan tiada lagi tempat untuk dituju oleh rakyat Palestin.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan tenteranya untuk membangunkan rancangan mengosongkan Rafah dan mahu memusnahkan empat batalion Hamas yang dikatakan berlindung di kawasan tersebut sehingga menyebabkan ramai terkorban.
Menceritakan lanjut, Nurul Ain berkata, ahli keluarganya yang terperangkap di dalam rumah adalah seramai 10 orang dan lapan yang lain berlindung di dalam khemah.
Beliau berkata, dia dan suami, Mohamed A.M. Shaat yang juga merupakan rakyat Palestin amat sedih dengan apa yang ditimpa negara tersebut.
“Saya dengan suami tidak boleh buat perkara lain selain daripada berdoa sahaja. Memang hati kami sangat risau akan ahli keluarga di sana. Malah, tidur pun tidak lena.
“Setiap jam kami cuba untuk menghubungi keluarga di sana sehinggakan tidak tahu berapa ratus habis untuk panggilan ke luar negara,” katanya. – UTUSAN










