Masjid Abu Bakar As-Siddiq terima sijil pendaftaran koperasi - Utusan Malaysia

Masjid Abu Bakar As-Siddiq terima sijil pendaftaran koperasi

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kanan)bersama Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (dua dari kiri) dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail (dua dari kanan) berkenan menyaksikan penyerahan sijil koperasi kepada wakil Masjid Abu Bakar As-Siddiq Seberang Ramai, Kuala Perlis, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Masjid Abu Bakar As-Siddiq Seberang Ramai, Kuala Perlis, di sini, menerima sijil pendaftaran koperasi daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), pada Sabtu lalu.

Menerusi penyerahan itu, koperasi masjid berkenaan yang ditubuhkan pada 15 Februari lalu kini didaftarkan sebagai Koperasi Kariah Masjid Abu Bakar As-Siddiq Seberang Ramai Kuala Perlis.

Dalam pada itu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan penyampaian sijil tersebut yang berlangsung di masjid berkenaan.

Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda berdua, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Penyerahan sijil itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Rusli Jaafar kepada wakil kariah Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Aziz Mizan.

Pada majlis sama, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Datuk Sri Mohd Salem Kailany yang mewakili syarikat itu turut berkesempatan menyerahkan sumbangan zakat kepada masjid berkenaan sebanyak RM10,000.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen juga berkenan menyerahkan sumbangan kepada 70 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Seberang Ramai dan 70 lagi dari Seberang Tok Pi.

Sumbangan tersebut merupakan pemberian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di mana setiap penerima membawa pulang wang tunai berjumlah RM700 membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM98,000.

Pengagihan sumbangan itu bertujuan bagi membantu dan mengurangkan bebanan ditanggung golongan kurang bernasib baik di kawasan terlibat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN