KUALA LUMPUR: “Saya terima tuduhan orang terhadap saya.”
Itu respons pelakon cantik, Alya Iman yang dituduh mengambil bahan terlarang gara-gara masalah ‘tidur mati’ yang didedahkannya, baru-baru ini.
Kata pelakon berusia 22 tahun itu, sebagai manusia dia faham dengan sikap manusia lain yang suka mengata dan membuat spekulasi terhadap satu-satu perkara.
Justeru Alya memaklumkan tidak berkecil hati apabila timbul dakwaan yang tidak benar tentang masalah dihadapinya itu.
“Saya sedar macam-macam spekulasi yang timbul selepas video itu tular. Tapi dakwaan ambil ‘bahan terlarang’ itu tidak benar.
“Saya tak pernah ambil bahan-bahan seperti itu. Namun saya tak terkesan bila orang kaitkan masalah ‘tidur mati’ saya dengan dakwaan tersebut.
“Manusia memang tak lari daripada membuat spekulasi. Saya sendiripun adakalanya membuat perkara sama. Sebagai artis, saya okey dan terima apabila orang berkata tentang saya,” katanya ketika ditemui pada Anugerah Telenovela semalam.
Alya menjadi buah mulut orang selepas mendedahkan dirinya mengalami masalah ‘tidur mati’ dalam sebuah wawancara baru-baru ini.
Kenyataan anak kepada pelakon Allahyarham Azmil Mustapha itu mengundang spekulasi netizen termasuk yang mendakwa masalah dihadapi pelakon itu berpunca daripada pengambilan ‘bahan terlarang’.