Maleeq Dragster juara RCS Jepun 2024 - Utusan Malaysia

Maleeq Dragster juara RCS Jepun 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelumba cilik, Maleeq Dragster terus melakar sejarah membanggakan apabila menjuarai Kejuaraan Run Bike Series (RCS) Jepun 2024 di Fuji Marine Pool baru-baru ini.

Kejayaan itu merupakan kejuaraan kedua Maleeq atau nama penuhnya, Wan Ayden Maleeq Wan Mohd Muzri selepas dia mencipta sejarah menjadi anak Malaysia pertama membawa pulang trofi RCS Jepun musim ke-12 pada November tahun lalu.

Presiden The M8 Cycling Club, Datuk Seri Wan Mohd Muzri Ramli yang juga bapa kepada Maleeq berkata, kejuaraan itu amat bermakna buat komuniti pushbike tempatan khususnya yang sentiasa memberi semangat dan harapan buat Maleeq.

“Cabaran utama dalam perlumbaan kali ini bukan sahaja persaingan antara pelumba, tetapi cuaca kedua-dua hari pertandingan hujan. Apabila hujan, suhu menjadi semakin sejuk dan Maleeq berlumba dalam keadaan kesejukan.

“Semestinya, mengekalkan kejuaraan adalah sesuatu yang mendebarkan dan merisaukan kami sebagai ibu bapa. Tahniah dan bangga kerana ini adalah permulaan terbaik Maleeq untuk tahun ini.

“Apatah lagi, membawa nama Malaysia dan pasukan M8 ke peringkat lebih tinggi adalah satu tanggungjawab yang besar. Tanpa usaha dan pengorbanan tidak mampu kita ukir kejayaan. Sejarah berulang lagi kali ini buat Maleeq,” katanya.

Kejayaan pelumba cilik itu turut mendapat penghargaan daripada Presiden RCS, Yuuki Takahira yang mengakui Malaysia berjaya melahirkan seorang juara, selain mendapat liputan beberapa akhbar Jepun seperti Tokyo Chinichi Sports dan Majalah RCS.

RCS Jepun adalah kejohanan terbaik di Asia dengan mengumpulkan juara-juara pushbike dari seluruh dunia, antaranya tuan rumah, China, Taiwan, Thailand, Malaysia dan banyak lagi.

Dalam pada itu, sebagai persediaan, Maleeq menyertai kejohanan pemanas badan M8 Centre Pushbike Race yang dianjurkan di Malaysia selama dua hari pada 30 dan 31 Disember lalu yang turut menyaksikannya muncul juara berganda pada saingan tersebut.

Kejayaan itu sekali gusmemberikan keyakinan tinggi buat Maleeq sehingga berhasil menjuarai RCS Jepun buat kali kedua berturut-turut.

Selepas pulang dari Jepun, Maleeq yang disertai abang serta kakaknya, Mikael dan Mikayla juga berjaya mencipta kejayaan apabila mengungguli Kejuaraan Pushbike di Thailand baru-baru ini.

Maleeq berjaya menggenggam gelaran juara untuk dua hari berturut-turut selain abangnya, Mikael juga mengungguli kategori 2017 dan Open Big.
Manakala kakaknya pula menduduki tempat kedua dan ketiga dalam kategori Open Girl serta Open Extra di kejuaraan sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN