PETALING JAYA: Malaysia dan Jepun memperkukuh perdagangan halal, pelaburan dan pekerjaan berkualiti antara kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertemuan bersama pemain industri halal terkemuka di Jepun hari ini meletak asas lebih kukuh dan mencatat lembaran baharu dalam memperkasa kerjasama berterusan antara kedua-dua negara.
Menurut beliau, sidang meja bulat anjuran Agensi Pembangunan Industri Halal (HDC) telah menggariskan kepentingan dalam menyelaras kerjasama antara pemain industri kedua-dua negara.
Ujarnya, ia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap barangan dan perkhidmatan halal dunia yang kini mencatat nilai mencecah lebih 3 trilion dolar Amerika Syarikat (AS).
“Saya ingin menekankan kerjasama kukuh antara Malaysia dan Jepun, yang dapat dilihat menerusi kesungguhan kedua-dua negara dalam hal berkaitan pembangunan industri halal,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, komitmen Jepun dalam memastikan aspek kualiti dan integriti halal menerusi enam badan pensijilan halal di Jepun yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuktikan peranan pentingnya dalam pasaran global.
Beliau berkata, walaupun bilangan penduduk beragama Islam di Jepun agak kecil, pasaran halal negara ini tetap mewujudkan peluang besar bagi pertumbuhan serta kerjasama dalam industri halal.
“Sebagai contoh, jumlah eksport Malaysia mencecah RM59.46 bilion pada 2022, dengan eksport halal ke Jepun berjumlah RM3.6 bilion.
“Angka ini jelas mencerminkan potensi besar boleh diterokai dalam perdagangan sektor halal antara kedua-dua negara,” katanya.
Selain itu, katanya, HDC turut menggalakkan kepakaran dan infrastruktur dimiliki Malaysia membantu usaha capaian global selepas mengambil kira cabaran dihadapi produk halal dikeluarkan negara bukan majoriti Islam seperti Jepun.
“Sebagai Pengerusi Majlis Pembangunan Halal Malaysia (MPIH), semua pemegang taruh halal bersedia membantu Jepun meningkatkan infrastruktur dan rangkaian bekalannya, sekali gus memperkukuh hubungan dagang dua hala,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan majlis menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) di antara HDC dan AEON Co. (M) Berhad serta HDC dan Persatuan Halal Jepun (JHA).
MoU antara HDC dan AEON Co. (M) Berhad bertujuan mempromosi produk halal Malaysia di Jepun.
MoU kedua antara HDC dan Persatuan Halal Jepun (JHA) pula bertujuan meningkatkan infrastruktur dan pensijilan Halal di Jepun.
“Saya melihat kejayaan Jepun dalam industri halal adalah bukti kesungguhan dan kesediaan mereka dengan mengadaptasi serta mematuhi sambil mengekalkan nilai budaya dan pada masa sama, mematuhi peraturan halal yang ketat.
“Menerusi inovasi dan strategi pemasaran bersasar, Jepun berjaya meningkatkan tarikan dan keboleh capaiannya untuk meyakinkan pengguna produk halal, sekali gus membuka ruang untuk Malaysia sebagai peneraju ekosistem halal antarabangsa,” katanya. – UTUSAN










