KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas ditarik ombak besar ketika sedang bersiar-siar di pesisir Pantai Batu Buruk, di sini, hari ini.
Pegawai Komandan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Yusmizan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 11.31 pagi.
Menurut beliau, mangsa yang dikhuatiri lemas dikenal pasti sebagai Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, dari Kuala Lumpur.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama isterinya, Nora Elina Abdul Khalit, 44, dan dua anak mereka bersiar-siar di pesisir pantai tersebut.
“Difahamkan, mereka sekeluarga datang dari Kuala Lumpur dan menginap di sebuah hotel berdekatan sejak Jumaat lalu,” katanya ketika ditemui di Pantai Batu Buruk, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebaik menerima maklumat, seramai 13 pegawai dan anggota termasuk empat anggota pasukan penyelamat di air (PPDA) terus digerakkan ke lokasi.
“Ketika ini, pencarian masih tertumpu di permukaan air sekitar 20 meter dari kawasan pantai dengan khidmat empat penyelam.
“Bagaimanapun, operasi tersebut berdepan cabaran ombak besar dan arus yang kuati,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak berada di pantai kerana musim tengkujuh masih melanda Terengganu ketika ini.
Tambahnya, orang ramai juga perlu berwaspada dan peka dengan persekitaran mereka kerana pihak hotel telah memasang papan tanda amaran di sekitar kawasan tersebut. – UTUSAN










