Lebih satu juta PATI ‘serah diri’

Lebih satu juta PATI ‘serah diri’

RUSLIN JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sejumlah 1,105,061 pendatang asing tanpa izin (PATI) tampil ‘menyerah diri’ kepada Imigresen melalui 73,253 majikan baharu mereka supaya digajikan secara sah melalui pendaftaran di bawah Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0.

Golongan itu meliputi mereka yang tia­da dokumen dan bekerja merata-rata tan­pa majikan serta tiada permit sah selain berada di Malaysia tanpa ada pekerjaan.

Program RTK 2.0 mula dilaksanakan pada 27 Januari tahun lalu bagi mengizinkan mereka berada dan bekerja secara sah di negara ini.

Bagi tujuan itu, setiap majikan baharu diberi tempoh sehingga 31 Disember 2023 untuk mendaftarkan semula mana-mana pekerja asing mereka menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga kerja asing di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata, setiap warga asing yang didaftarkan itu perlu melalui proses verifikasi untuk mengesahkan dan memastikan dokumen dan identiti mereka bertepatan dengan pendaftaran.

Bagaimanapun, beliau berkata, hanya 40 peratus pekerja asing tampil bersama majikan untuk melakukan proses verifikasi pekerja asing mereka dalam tempoh pelaksanaan program itu setakat 27 Januari lalu.

Sepanjang tempoh sama, kira-kira 487,000 daripada jumlah warga asing yang didaftarkan itu sudah diverifikasi, manakala seramai 617,587 warga asing belum berbuat demikian sebelum tempoh tamat pada 31 Mac ini.

Beliau menegaskan, majikan diberi masa dalam tempoh ini untuk hadir melakukan verifikasi dan sekiranya majikan gagal untuk datang bersama pekerja mereka selepas tarikh berkenaan, pendaftaran dalam RTK 2.0 terbatal.

“Proses notifikasi yang telah kita buat kepada majikan bagi proses verifikasi bermula pada tahun lepas lagi dan ada majikan memberi alasan tidak sempat untuk hadir bawa pekerja mereka.

“Ingin saya tegaskan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah bagi ketetapan  yang mana majikan hanya akan diberi notifikasi (tampil buat verifikasi) sebanyak dua kali sahaja. Kali kedua mereka masih tidak hadir, pendaftaran mereka automatik akan batal,” katanya dalam temubual di pejabatnya, di sini baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Ruslin berkata, kebanyakan majikan yang tidak hadir berkemungkinan disebabkan mereka hanya mahu pekerja asing tersebut tinggal secara sah dengan menggunakan slip pendaftaran RTK 2.0.

Jadi, apabila Jabatan Imigresen melaksanakan operasi, pekerja asing itu akan dilepaskan kerana memegang slip tersebut.

“Tetapi mereka tidak boleh bertahan lama kerana sehingga 31 Mac ini jika masih tidak melakukan verifikasi, ia akan terbatal dan akan menghadapi tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen,” jelasnya.

Ruslin menjelaskan, sebagai contoh, mana-mana pekerja asing dipanggil Jabatan Imigresen untuk hadir bagi proses verifikasi pada satu-satu masa yang ditetapkan tetapi mereka tidak hadir, tempoh itu sudah dikira sebagai notifikasi pertama.

“Kali pertama gagal hadir, Jabatan Imigresen akan menghantar notifikasi kali kedua pada tarikh lain dan jika majikan tidak hadir maka secara automatik semua permohonan RTK akan terbatal.

“Jika ada majikan mendaftar 50 pekerja asing maka semua akan terbatal dan status mereka akan jadi tinggal lebih masa semula,” ujarnya.

Justeru, Ruslin sekali lagi mengingatkan, semua majikan bertanggungjawab untuk hadir melakukan verifikasi kepada pekerja asing yang didaftarkan.

Pada 9 Januari lalu, Menteri Dalam Negeri telah mengumumkan akan menamatkan proses verifikasi bagi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) pada 31 Mac ini.

Sepanjang pelaksanaan RTK 2.0, majikan perlu melakukan proses verifikasi dengan hadir ke pejabat Imigresen bersama pekerja yang didaftarkan selepas diberikan notifikasi oleh Jabatan Imigresen.

Menerusi proses verifikasi ini, Jabatan Imigresen akan melihat jika majikan itu adalah yang sah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan pekerja itu (yang didaftarkan) adalah betul-betul wujud justeru mereka perlu datang secara fizikal. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN