Kuota pengeluaran benih padi NMR 152 perlu dipertingkatkan - Mosti - Utusan Malaysia

Kuota pengeluaran benih padi NMR 152 perlu dipertingkatkan – Mosti

NMR
CHANG Lih Kang meninjau tapak semaian padi yang menggunakan benih NMR 152 di tapak projek penyelidikan itu di Kampung Sungai Leman, Sekinchan, di Sabak Bernam, Selangor, semalam. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) mahu meningkatkan kuota pengeluaran benih padi NMR 152 yang dianggap masih rendah dan tidak mencukupi.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, kuota tahunan pengeluaran benih baka baharu padi itu hanya belasan ribu metrik tan di seluruh negara dan jumlah itu masih kecil kerana NMR 152 menerima permintaan tinggi daripada pesawah terutama dari Selangor dan Perak.

“Benih itu menjadi pilihan pesawah kerana padinya berproduktiviti tinggi selain tahan penyakit, cuaca ekstrem, kemarau dan banjir.

“Justeru, kementerian mahu kuota pengeluarannya ditingkatkan sehingga 30 peratus di setiap negeri berbanding hanya 10 hingga 20 peratus ketika ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek Penyelidikan Padi NMR 152, semalam.

Penghasilan benih padi NMR 152 di bawah Agensi Nuklear Malaysia itu antara penyelidikan berkaitan sektor agro makanan dikatakan mampu mengeluarkan hasil tanaman hingga 10 tan sehektar berbanding hasil padi lain sekitar enam tan sehektar di kawasan sama.

Penghasilannya diiktiraf antarabangsa antaranya menerusi Anugerah Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pembiakan Mutasi dan Anugerah Forum Kerjasama Nuklear di Asia 2020.

Dalam pada itu Lih Kang memberitahu, pihaknya akan membincangkan isu mengenai benih berkenaan dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS).

“Kita mempunyai pelbagai jenis benih padi dan masalah utama NMR 152 adalah melibatkan kuota pengeluarannya. Selain itu, pengeluaran benih berkenaan tidak begitu cepat dan kita perlu merancakkan lagi usaha dengan kerjasama MAFS,” ujarnya.

Katanya lagi, Malaysia mampu menghasilkan variati benih baharu bagi tempoh munasabah namun proses mendaftarkannya secara sah agak panjang.

Benih NMR 152 hasil kajian dari Agensi Nuklear Malaysia sejak 15 tahun lalu menggunakan aplikasi teknologi nuklear dan penyaringan ketat selain pemilihan baka khusus mengikut garis panduan Penghasilan Benih Padi Sah Negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN