Klang kini jadi bandar raya diraja - Utusan Malaysia

Klang kini jadi bandar raya diraja

Klang bandar raya diraja
SULTAN Sharafuddin Idris Shah berkenan melantik Noraini Roslan sebagai Destinasi Datuk Bandar pertama Majlis Bandaraya Diraja Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Daerah Klang kini menjadi bandar raya keempat di negeri ini selepas Shah Alam,  Petaling Jaya dan Subang Jaya dalam majlis perisytiharannya hari ini.

Perisytiharan itu dilakukan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas baginda berkenan berangkat ke Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang menjadikan daerah tersebut sebagai pertama bergelar bandar raya diraja di Selangor.

Baginda bertitah, perisytiharan itu dikuatkuasakan bermula 23 November lalu dan berkenan melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) sebagai Datuk Bandar pertama.

“Beta, dengan ini mengisytiharkan dan menetapkan bahawa MPK, bermula pada 23 November 2023, akan menjadi sebuah Bandar Raya Diraja buat selama- lamanya dan hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang

“Oleh yang demikian, gelaran Yang Dipertua MPK, hendaklah ditafsirkan sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang. Manakala Ahli-Ahli Majlis Perbandaran Klang, hendaklah ditafsirkan sebagai Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang.

“Bahawasanya, menurut Subseksyen 10(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, adalah diperuntukkan bahawa hendaklah ada seorang Datuk Bandar bagi majlis bandaraya yang dilantik oleh kerajaan beta,” titahnya.

Baginda juga memaklumkan pelantikan Datuk Bandar selaras dengan Subseksyen 10(1) Akta Kerajaan Tempatan.

“Maka diketahui oleh sekalian bahawa kerajaan beta dengan ini melantik Datin Noraini Roslan menjadi Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang untuk suatu tempoh perkhidmatan yang tidak ditetapkan dan atas sifat yang demikian itu mengguna dan menjalankan segala kuasa yang terletak pada Datuk Bandar Raya Diraja Klang itu dan mempunyai serta menikmati segala hak, kuasa dan kelebihan yang sah dipunyai oleh penyandang jawatan itu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN