TAPAH: Masjid Abu Hurairah, Jalan Tapah-Bidor di sini memperkenalkan Khemah Musafir yang memberikan makanan dan minuman secara percuma kepada pengunjung terutamanya musafir pada setiap cuti umum atau hujung minggu.
Konsep beri makan dapat pahala yang bermula pada Februari 2022 di masjid itu menyediakan makanan yang lazat kepada musafir pada setiap hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan cuti umum bermula pukul 3 petang hingga 8 malam.
Pengerusi Khemah Musafir, Abu Supian Ahmad Sahari, 66, berkata, pekarangan masjid itu mempunyai tiga khemah khusus bagi program itu.
“Pada mulanya kami hanya menyediakan dua atau tiga menu sahaja namun selepas sambutan yang amat menggalakkan, kami menambah lagi menu termasuk pencuci mulut dan buah-buahan.
“Secara tidak langsung, kami dapat membantu peniaga kecil terutamanya penduduk sekitar memperoleh pendapatan sampingan dengan menyediakan makanan tersebut.
“Ada juga kariah masjid yang merupakan peniaga daging ayam secara konsisten menyumbang daging haiwan itu untuk dimasak bagi menjamu tetamu di masjid ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Abu Supian berkata, makanan dan minuman percuma itu tidak terhad kepada musafir sahaja dan sesiapa sahaja yang singgah di masjid itu boleh menikmatinya.
“Pada mulanya, ada tetamu yang singgah solat menyangka ada majlis kenduri kahwin di masjid namun setelah diterangkan perkara sebenar mereka pun gembira dapat menunaikan solat, berehat selain mengisi perut,” katanya. – UTUSAN










