Kes Muhyiddin kembali dibicara di mahkamah sesyen

Kes Muhyiddin kembali dibicara di mahkamah sesyen

MUHYIDDIN Yassin tiba di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi mengikuti rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya daripada empat pertuduhan salah guna kedudukan. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kes Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta, dibicarakan se­mula selepas Mahkamah Ra­yuan semalam membenarkan rayuan pendakwa raya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S.M. Komathy Suppiah sebulat suara memutuskan agar kes itu dikembalikan ke Mahkamah Se­syen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut. Tarikh 4 Mac ini ditetapkan untuk sebutan kes.

Sehubungan itu, panel berke­naan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu daripada keempat-empat pertuduhan.

Ketika menyampaikan keputusan tersebut, Hakim Hadha­riah berkata, keempat-empat per­tuduhan terhadap Muhyiddin, 76, adalah jelas dan tidak memerlukan pihak pendakwaan untuk menyatakan secara terperinci butiran lanjut atau bagaimana kesalahan itu dilakukan.

Sehubungan itu, panel bersidang berpendapat, hakim Mah­kamah Tinggi terkhilaf dari segi undang-undang apabila memutuskan bahawa keempat-empat pertuduhan itu tidak mendedahkan kesalahan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat Muhyiddin didakwa sebagai Perdana Menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk suapan masing-masing RM200 juta, RM1juta, RM19.5 juta dan RM12 Juta, kesemua­nya berjumlah RM232.5 juta yang diterima daripada tiga buah syarikat dan seorang individu bagi Bersatu.

Kesemua kesalahan itu di­dakwa dilakukan di Pejabat Per­dana Menteri, Blok Utama, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Perseku­tuan, Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib manakala peguam-peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Amer Hamzah Arsyad berhujah bagi pihak Muhyiddin.

Mahkamah turut bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa Bersatu adalah sebuah pertubuhan parti politik seperti takrifan Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pihak pendakwaan berhujah, Bersatu juga sebuah ‘organisasi’ yang merupakan ‘sekutu’ kepada tertuduh, oleh yang demikian parti politik tidak mungkin dapat digolongkan dalam perka­taan ‘kelab’, ‘syarikat’ atau ‘kerjasama’.

Sementara itu, Wan Shaha­ruddin menghujahkan, Mahka­mah Tinggi bertindak secara pramatang ketika melepas dan membebaskan Muhyiddin daripada keempat-empat pertuduhan, walhal perbicaraan masih belum dimulakan.

Hujah beliau, pendakwaan harus diberi peluang mengemukakan keterangan sama ada melalui keterangan lisan atau berdokumen atau menerusi ke­terangan terus ataupun keterangan ikut keadaan dalam usaha membuktikan kes prima facie terhadap bekas Perdana Menteri.

Katanya, keempat-keempat pertuduhan itu merupakan persoalan fakta dan wajar diputuskan selepas mendengar keterangan saksi-saksi, bukan berdasarkan kepada afidavit.

“Perintah pelepasan dan pembebasan hakim Mahkamah Tinggi merupakan tindakan pramatang kerana kes masih belum dibicarakan yang mana saksi belum dipanggil untuk memberi keterangan dan mereka belum diuji melalui soal balas oleh pihak pembelaan,” hujah beliau.

Wan Shaharuddin selanjutnya menghujahkan, Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika memutuskan bahawa pertuduhan itu tidak menyatakan butiran bagaimana Muhyiddin menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan (sama ada dengan membuat keputusan atau mengambil tindakan).

Mahkamah Tinggi ketika itu berpendapat, keciciran butiran itu merupakan satu ketidakpatuhan terhadap Seksyen 154 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan ianya telah memudaratkan Muhyiddin (responden) dan mewajarkan satu perintah pelepasan dan pembebasan.

Bagaimanapun, pendakwaan berhujah, jika butiran itu tertinggal sekalipun, hakim bicara tidak terhalang untuk membuat dapatan fakta seandainya pihak pendakwaan berjaya mengemukakan keterangan limpah ruah dalam membuktikan perkara tersebut.

Sementara itu, Mohd Dusuki turut berhujah, Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila gagal mendapati bahawa parti Bersatu merupakan sebuah organisasi sepertimana termaktub dalam takrifan perkataan ‘sekutu’ dalam Seksyen 3 akta SPRM.

Pada 15 Ogos 2023, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan predikat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM dan seterusnya memerintahkannya dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan predikat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN