PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan mahu bekerja lebih kuat dan tegap demi memaknai cita Malaysia yang lebih sejahtera dan tinggi darjatnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Tahun Naga menurut kalendar Cina membawa maksud kekuatan dan karisma, selain sifat kreativiti dan keyakinan.
“Justeru, bagi membangkitkan semangat prinsip-prinsip universal tersebut, kita sebagai rakyat Malaysia mesti teruskan tekad untuk menjadi masyarakat yang unggul dan madani.
“Di pihak Kerajaan, kerja kita akan lebih kuat dan tegap demi memaknai cita Malaysia yang lebih sejahtera dan tinggi darjatnya. Ekonomi mesti dibangunkan secara saksama, mampan dan berkebajikan, kebejatan (kerosakan) mesti dijauhkan serta perpaduan diperkukuh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Dalam pada itu, Anwar mengucapkan selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina.
Semalam juga, Anwar mengajak rakyat mengambil iktibar serta memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang malar segar agar umat waspada dan berubah.
Katanya, ibrah perjalanan Israk dan Mikraj itu hampir wajib dibugar sepanjang zaman kerana ia menjadi penguat keimanan terhadap kerasulan Rasulullah SAW.
Selain itu, katanya, peristiwa itu juga mengungkap 1001 iktibar yang dipertontonkan terkait soal akidah dan akhlak bagi seorang hamba.
“Walhasil, umat dituntut agar istiqamah dalam mendirikan solat lima waktu, kasih dan ihsan terhadap fakir miskin serta membenam perilaku dusta dan nafsu serakah. Yang demikian itu syarat bagi melonjakkan kebangkitan dan kemajuan bangsa.
Ini turut terpakai dalam hal yang menggusarkan kita sekarang terkait pemerasan ke atas rakyat Palestin.
“Iktibar Israk dan Mikraj malar segar dan harus diperingatkan agar umat waspada dan berubah, sementelahan pula Baitul Maqdis di Palestin itulah jua asas kepada mikraj Baginda dalam pendakiannya menuju puncak cakerawala,” katanya dalam perutusan khas sempena Israk Mikraj di laman sosial malam semalam.
Anwar ucap takziah kepada keluarga Azraai Khor
Selain itu, Anwar juga mengucapkan takziah kepada keluarga bekas pemain kebangsaan yang juga jurulatih disegani, Allahyarham Mohd. Azraai Khor Abdullah yang menghembuskan nafas terakhir akibat strok semalam.
Perdana Menteri berkata, jasa dan sumbangan Allahyarham kepada dunia bola sepak negara pastinya dikenang terutamanya buat penyokong Kedah apabila membawa pasukan itu muncul juara double treble pada 2007 dan 2008. – UTUSAN










