KUALA LUMPUR: Petang esok, Mahkamah Rayuan akan membacakan keputusan rayuan pendakwaan berkaitan keputusan yang melepas dan membebaskan bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Samirah Muzaffar dan dua remaja lelaki daripada tuduhan membunuh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan.
Sekiranya keputusan tersebut berpihak kepada pendakwaan, Samirah dan dua remaja lelaki yang kini berusia 21 dan 18 tahun akan diperintah untuk membela diri atas pertuduhan tersebut.
Jika berpihak kepada Samirah dan dua remaja lelaki itu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli akan membuat keputusan pula terhadap rayuan yang difailkan Samirah dan dua remaja terbabit.
Pada 30 Jun 2022, Samirah,49, dan kedua-dua remaja memfailkan rayuan bagi mencabar penemuan fakta tertentu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam termasuk kebakaran yang berlaku di bilik Nazrin “dilakukan dengan sengaja” dan punca kematian Nazrin adalah akibat “berbilang hentakan objek tumpul di kepala”.
Pihak pendakwaan selesai berhujah pada 17 Oktober manakala pembelaan yang diketuai peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah selesai memberikan hujahannya pada 23 Oktober lalu.
Pendakwaan ketika berhujah menyatakan, tiada inferens lain yang boleh disimpulkan melainkan kesemua responden (Samirah dan dua remaja) adalah orang yang bertanggungjawab terhadap kematian mangsa.
Ini kerana tiada keterangan lain yang dikemukakan bagi menunjukkan terdapat orang lain berada bersama Nazrin sebelum berlaku kejadian kebakaran yang didakwa meragut nyawa lelaki berkenaan.
Selain itu, Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail ketika berhujah menyatakan, kecederaan yang ada pada tubuh Nazrin tidak konsisten dengan letupan.
Selain itu, pihak pendakwaan menyatakan, kecederaan yang menembusi kepala mangsa juga tidak dapat dipastikan berpunca daripada objek apa.
Pada perbicaraan sebelum ini, pakar patologi, Dr Siew Sheue Feng dalam keterangannya terdapat kecederaan menembusi otak Nazrin seperti `dicucuk’.
Sementara itu, Muhammad Shafee dalam hujahannya menyatakan bahawa kematian Nazrin adalah satu tragedi dan bukan satu pembunuhan.
Selain itu, peguam bela, Rahmat Mohamed Hazlan menyatakan tiada bukti yang boleh mengaitkan tong petrol dengan kesemua responden dan teori ‘last seen’ hanyalah andaian pihak pendakwaan kerana tiada bukti langsung yang boleh menyokong perkara itu.
Pada 21 Jun 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam, melepas dan membebaskan Samirah dan dua remaja terbabit daripada pertuduhan membunuh Nazrin atas alasan antaranya pihak pendakwaan gagal prima facie kes dan gagal membuktikan bahawa Nazrin dibunuh di antara 11.30 malam 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.
Pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu keesokan harinya.
Samirah dan dua remaja lelaki itu pertama kali dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh Nazrin pada 4 Mac 2019 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 12 Mac 2019.
Turut berhadapan tuduhan sama ialah seorang pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang dipercayai bersubahat dan sepatutnya dituduh bersama, namun wanita masih bebas.
Perbicaraan bermula 6 September 2019. Pada 14 Februari 2022, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk abang dan kakak Nazrin iaitu Dr. Abdul Aziz, Dr. Malek Reedzwan serta Che Elainee dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki. – UTUSAN










