SUBANG JAYA: Primadona filem Melayu, Datuk Sarimah Ahmad, 82, kesal dengan tindakan seorang penerbit terkenal yang sehingga ke hari ini gagal memulangkan pita asal empat buah filem yang diterbitkan syarikatnya sebelum ini.
Jelas beliau, lebih menyedihkan lagi apabila individu tersebut yang kali terakhir ditemui sewaktu pengebumian suaminya, Yusof Majid sekitar 36 tahun lalu terus mendiamkan dan menghilangkan diri tanpa sebarang khabar berita.
“Dia berjanji tapi tak tepati, ambil secara senyap kesemua pita asal filem tersebut. Saya boleh kata pita-pita filem itu dicuri daripada saya.
“Kalau pita-pita itu masih ada bersamanya, pulangkan semula kepada saya. Kalau tidak, buatlah yang sepatutnya. Itu adalah hasil titik peluh, wang saya.
“Sejak dia ambil pita filem itu 36 tahun yang lalu, dia terus menghilangkan diri dan tidak pernah sekalipun menghubungi saya. Saya juga tidak tahu di mana keberadaannya sekarang,” katanya selepas program Ziarah Madani yang diketuai Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Farhan Fauzi di kediaman Sarimah semalam.
Berkongsi lanjut, Sarimah memaklumkan empat pita itu adalah empat filem terbitan syarikat Sarimah Film Production dan Sasari antaranya Kabus Tengahari, Detik 12 Malam, Dia Ibuku dan Jejak Bertapak.
Katanya, kesemua filem itu adalah hak milik mutlak beliau dan perlu dikembalikan semula sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“Dia dan seorang rakannya umpama mengambil kesempatan, datang kepada saya dan meminta saya menandatangi satu dokumen ketika fikiran saya bercelaru kerana arwah suami saya baru meninggal dunia dan jenazahnya menunggu masa untuk disolat dan dikafankan.
“Ada perkara yang pihaknya tidak jelaskan kepada saya. Namun apa pun keadaannya, dia perlu kotakan janjinya untuk memulangkan balik kesemua pita itu kepada saya.
“Saya bukan mengejar bayaran. Tetapi filem-filem itu adalah hasil titik peluh saya. Disebabkannya saya sebelum ini menanggung hutang dan pernah jatuh muflis kerana menjadi penjamin untuk dapatkan pinjaman bank bagi menghasilkan semua filem terbabit,” katanya. –UTUSAN










