Kawasan pendalaman perlukan industri sederhana, tinggi

Kawasan pendalaman perlukan industri sederhana, tinggi

MD Alwi Che Ahmad berucap pada Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Industri berpendapatan sederhana dan tinggi perlu dipertingkatkan di kawasan-kawasan luar bandar bagi menjana pendapatan 6.57 bumiputera di seluruh negara.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lenas, Datuk Seri Dr. Md Alwi Che Ahmad berkata, kawasan luar bandar kurang mendapat perhatian daripada dua industri tersebut.

“Apa yang ada semua industri kecil iaitu industri yang kerjanya untuk sara hidup dan bukan untuk berniaga atau mencari untung yang besar sebab industri sederhana dan tinggi tidak berada di kawasan-kawasan kampung.

“Aksebiliti ini bermula daripada soal pengangkutan, jalan dan lain-lain. Mudah-mudahan isu ini akan selesai apabila kita buat satu ‘game changer’ (perubahan) menyelesaikan isu dihadapi seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL),” katanya semasa melakukan pembentangan mengenai Pembangunan Desa di Kongress Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024).

Untuk rekod, KEB 2024 yang diadakan selama tiga hari sehingga Sabtu ini di Pusat Konvensyen Putrajaya Antarabangsa (PICC) itu merupakan agenda penting kerajaan bagi merombak dan melonjak pembangunan sosioekonomi Bumiputera secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Dr. Md Alwi berkata, industri yang dapat membawa keuntungan terutama pada bumiputera di kawasan luar bandar harus di bawa oleh kerajaan.

“Kerajaan buat dasar, swasta ‘sambut’ dan kerajaan negeri beri insentif. Bukan naikkan cukai tetapi menggalakan industri untuk datang ke kampung.

“Ini semua bagi memastikan industri-industri besar dapat datang ke kawasan luar bandar,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, antara perkara yang menjadi keutamaan kumpulan bumiputera di luar bandar adalah mengenai pertimbangan mana lebih penting antara kelangsungan hidup dan pendidikan.

“Ada kes di mana kakak terpaksa berhenti belajar kerana adik-adiknya nak pergi ke universiti, kes seperti ini banyak berlaku di luar bandar.

“Sama ada kelangsungan hidup dahulu ataupun pendidikan dahulu, generasi sekarang pun menghadapi perkara ini. Pada masyarakat luar bandar, kelangsungan hidup menjadi perkara utama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN