SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah melakar sejarah apabila berjaya memungut hasil duti dan levi bersih mencecah RM37.798 bilion pada tahun lepas.
Menurut Penolong Ketua Pengarahnya, Norlela Ismail, jumlah berkenaan malahan melebihi 102 peratus daripada angka unjuran awal yang ditetapkan sebanyak RM36.850 bilion.
“Daripada keseluruhan hasil itu, Unit II iaitu Selangor merekodkan kutipan paling besar iaitu RM19.7 bilion berbanding sasaran hanya RM19.25 bilion,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra JKDM Zon Tengah bersama Media di di sini semalam.
Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil-wakil agensi media tempatan yang disaksikan Pengarah Operasi Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Wong Pun Sian.
Berdasarkan Laporan Tahunan JKDM, angka yang dicatatkan pada 2023 juga lebih tinggi daripada kutipan sepanjang 2022 hanya RM34.577 bilion dan 2021 pula RM28.961 bilion.
JKDM Zon Tengah meliputi Unit I yang melibatkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Unit II iaitu keseluruhan Selangor kecuali KLIA manakala Unit III pula sekitar KLIA sahaja.
Mengulas lanjut, Norlela memaklumkan bahawa Unit I merekodkan kutipan RM14.3 bilion pada 2023 iaitu turut menokok 102 peratus berbanding unjurannya hanya RM14.04 bilion.
“Sementara Unit III mencatatkan lonjakan 104 peratus iaitu RM3.7 bilion sepanjang tahun lalu daripada unjuran yang ditetapkan oleh pihak JKDM hanya RM3.56 bilion,” tambahnya.
Dari segi penguatkuasaan pula, JKDM Zon Tengah ujarnya, berjaya menumpaskan 1,185 kes penyeludupan rokok, minuman keras dan lain-lain melibatkan nilai sitaan RM77 juta.
Duti dan cukai yang sepatutnya boleh dikutip katanya, boleh mencecah sebanyak RM105 juta manakala sebanyak 210 kes tangkapan turut dilaksanakan sepanjang tahun lepas.
Daripada angka berkenaan jelas Norlela, sejumlah 190 kes telah pun dituduh di peringkat mahkamah dengan 63 kes sudah berjaya disabitkan dengan kesalahan masing-masing.
Selain itu, beliau menganggarkan sebanyak RM4 juta diperoleh JKDM hasil jualan tender kenderaan secara bersepadu membabitkan 143 unit pelbagai kenderaan telah dilucut hak. – UTUSAN








