Kalau sudah tua, tua sajalah – Ameng - Utusan Malaysia

Kalau sudah tua, tua sajalah – Ameng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SUARA Ameng maintain. Tak semput pun. Tak macam penyanyi seusia lain.” Mungkin pujian seperti itu sudah acap kali singgah di telinga penyanyi, Ameng. 

Namun itulah hakikatnya, di tangga usia 55 tahun, suara dan vokalnya masih kekal muda. Tidak dimamah angka umur dan ketuaan. 

Bukan mahu membandingkan, di kala ada penyanyi seusianya yang menerima kecaman lantaran vokal sudah tidak seperti dahulu kala, Ameng seperti menerima layanan berbeza, kekal dipuji. 

Lantas ramai yang tertanyatanya, apa rahsia di sebalik suara yang kekal muda itu? Adakah kekerapan amalan mengaji yang pernah didedahkan dahulu antara sebab suara dan vokalnya masih sama seperti dahulu? 

Apatah lagi, berat badannya juga dilihat semakin susust sehingga ada yang meneka dia turut menjalani pembedahan potong usus untuk cepat kurus? Betulkah? Jawablah bertanyakan terus kepada Ameng. Ameng, Jawablah!

Sehingga sekarang suara abang masih tidak berubah. Macam ‘telan kaset’. Suara dan vokal kekal muda. Apa rahsianya? 

Saya selalu bersenam. Memang hari-hari saya bersenam. Mungkin orang anggap bersenam ini untuk kesihatan fizikal sahaja, namun sebenarnya bagus untuk mental. Saya kurang tertekan dan tidak fikir banyak. Alhamdulillah, saya baru pergi buat pemeriksaan kesihatan dan doktor pun terkejut saya tidak ada penyakit. Kolestrol, jantung semua dalam keadaan baik. Saya bersyukur sangat. Amalkan aktiviti senam. 

Ada yang cakap, sebab abang selalu mengaji juga. Apabila mengaji, suara itu masih boleh dialunkan dengan sedap. Betul? 

Mengaji itu sebagai bekalan akhirat kelak. Memang saya selalu mengaji, dari dahulu lagi. Lebih-lebih di usia ini, memang banyaklah mengaji. Tetapi kaitan dengan suara itu, saya pun tak pasti. 

Berbalik kepada senaman, abang nampak susut, berapa kilogram turun sampai nampak berbeza daripada sebelum ini? Nampak susut ke? 

Memang saya sasarkan untuk turun berat badan. Dalam tiga bulan, berat saya turun 20 kilogram. Saya tak melakukan apa-apa rawatan yang popular sekarang walaupun ada yang tawarkan dan nasihat saya. Tak mahulah, saya memang jaga makan dan bersenam. Lebih baik begitu. 

Mengapa abang memilih untuk kurus secara alami? Bukankah bila buat rawatan untuk kurus cepat itu lebih mudah? Tak perlu berpantang makan semua? 

Ini saya bercakap untuk diri sendiri, tidak terkait dengan sesiapa pun. Saya tidak mahu menurunkan berat badan dengan cara sebegitu. Macam tak natural, tak alami pula. Tak nak potong-potong. Kalau saya mahu kurus, diet dan bersenam. Tak normal bagi saya sendiri kalau ambil pendekatan potong sana-sini. Kalau kurus, berjayalah diet dan senaman saya. Kalau tidak, tak apalah. Teruskan hidup. 

Bagaimana pula dengan rawatan kecantikan? Sekarang bukan wanita sahaja, ada lelaki pun turut melakukan rawatan atau pembedahan plastik untuk tampil lebih muda. Abang macam mana pula? 

Tidaklah bagi saya. Buat apa hendak buat-buat muka semua itu? Kalau dah tua, tua sahajalah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN