PETALING JAYA: Pas akan menyokong segala usaha mana-mana pihak termasuk DAP yang mahu memartabatkan agama Islam susulan polemik institusi mahkamah syariah baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, ini termasuk dalam usaha merangka Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).
“Kalau DAP bawa pun kita sokong, asalkan siapa saja martabatkan Islam, maka kita sangat berbangga.
“Apatah lagi pihak kerajan yang ada, kalau mereka nak caknakan Islam, Pas akan beri sokongan penuh,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengapa Pas tidak mendesak kelulusan RUU355 berbanding pindaan Perlembagaan menjelang mesyuarat Parlimen tidak lama lagi.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, peguam syarie, Datuk Julita Ilhani Abdul Jabbar berkata, kelulusan RUU355 lebih utama berbanding mencadang usul meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memperkasa institusi mahkamah syariah.
Justeru, katanya, tiada keperluan untuk Pas mendesak kerajaan meminda Perlembagaan kerana parti itu sepatutnya bertanggungjawab merealisasi RUU355 semasa menjadi kerajaan sebelum ini.
RUU 355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa menghukum bagi mahkamah syariah untuk kesalahan jenayah syariah, tanpa melibatkan masyarakat bukan Islam, namun, ia hanya di peringkat usul tanpa perbahasan.
RUU355 itu dibentang melalui usul persendirian oleh Ahli Parlimen Marang daripada Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 26 Mei 2016, namun, perbahasannya tertangguh beberapa tahun sehingga tidak lagi timbul dalam mesyuarat Parlimen. – UTUSAN










