Kajian SSPA tetap dilaksana tahun ini - Utusan Malaysia

Kajian SSPA tetap dilaksana tahun ini

SSPA
ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan tiada sebab untuk kerajaan tidak melaksanakan kajian Sistem Saraan Penjawat Awam (SSPA) pada tahun ini selepas melihat prestasi penjawat awam.

Menurutnya, semangat kerja dalam kalangan penjawat awam dilaporkan meningkat menerusi pemberian insentif termasuk bayaran khas kepada kumpulan itu yang dibuat baru-baru ini.

“Bertambah meyakinkan saya, sekiranya kita beri jalur dan peringatan yang baik, termasuk bonus semalam yang baik, semangat kerja pun meningkat.

“Jadi, sebab itu penjawat awam itu sangat penting untuk kita, tugas mereka. Kalau itulah prestasi mereka, Tan Sri KSN (Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali) kalau itulah kita tengok prestasi penjawat-penjawat awam di peringkat tinggi dan serendah-rendahnya tidak ada sebab kita tidak kaji sistem saraan tahun ini,” katanya ketika berucap pada Perasmian Penutup Program Madani Rakyat 2024 Zon Tengah, hari ini.

Sebelum itu, beliau berharap penganjuran Program Madani Rakyat berterusan dibantu pelbagai agensi apabila ia menjadi tumpuan rakyat yang menganggapnya sebagai usaha meringankan beban rakyat.

“Rakyat di Kuala Selangor, Selangor, Negeri Sembilan, Perak datang berkunjung kerana dia (mereka) lihat semangat madani itu wujud di peringkat terbawah, iaitu memudahkan pendaftaran, memudahkan pembayaran, meringankan beban rakyat. Saya ucapkan terima kasih setinggi-tingginya kepada semua yang terlibat,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Kewangan itu menegaskan Kerajaan akan menyegerakan pelaksanaan SSPA bagi manfaat penjawat awam selepas ia tertangguh sebelum ini ekoran kedudukan kewangan negara yang dibebani hutang terdahulu.

Menurutnya, inisiatif itu tidak dapat dilaksanakan tahun lalu ekoran Kerajaan Perpaduan mewarisi kedudukan kewangan terdahulu yang tinggi iaitu sebanyak RM1.5 trilion dengan defisit sekitar 5.6 peratus.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan, kajian tersebut penting selepas melihat tiada perubahan terhadap sistem saraan penjawat awam yang sudah menjangkau lebih 10 tahun.

“Walaupun, ada kekangan kewangan, tekanan ekonomi, tetapi kita mesti cari jalan kerana sudah lebih 10 tahun tidak ada perubahan kajian semula dan peningkatan saraan penjawat awam.

“Maka insya-Allah kawan-kawan KPPA (Ketua Pengarah Penjawat Awam) KSN, saya akan bentangkan kepada jemaah menteri, kita sangat prihatin. Dengan prestasi (kerja penjawat awam) itu tidak ada sebab kita tidak segerakan pelaksanaan itu,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN