PUTRAJAYA: Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini meluluskan pembentukan satu akta berkaitan penubuhan Majlis Media Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, langkah seterusnya ialah proses membentuk undang-undang berkaitan oleh Jabatan Peguam Negara, dan dijangka ia dapat dibentangkan di Parlimen pada Jun depan.
Beliau berkata, pembentukan akta tersebut sebelum ini mengambil masa yang agak lama susulan proses libat urus bersama Jawatankuasa Khas Protem dengan pemegang taruh, serta perubahan kerajaan pada 2020.
“Mengikut sejarahnya, dasar mengenai penggubalan satu akta pembentukan Majlis Media Malaysia pernah dimasukkan pada 2019 namun, beberapa pelarasan perlu dilakukan semula selepas Kerajaan Perpaduan dibentuk,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Katanya, draf RUU itu sebenarnya sudah diluluskan Kabinet yang terdahulu dan sudah tersenarai untuk dibentangkan pada 2019, namun tergendala akibat perubahan kerajaan ketika itu.
Semalam, kerajaan melancarkan semula Kod Etika Wartawan Malaysia dan memberi jaminan langkah itu tidak mengekang kebebasan media dan pengamal media di negara ini.
Fahmi berkata, kod etika wartawan ini telah wujud pada 1989, namun ia kini ditambah baik untuk mendepani cabaran teknologi masa kini.
Ditanya gesaan beberapa pihak supaya Majlis Media Malaysia ditubuhkan dahulu sebelum kod etika wartawan dilaksanakan, Fahmi berkata, kod etika itu bukan perkara baharu sebaliknya ditambah baik.
Katanya, kod etika wartawan yang dilancarkan semalam tetap mengikut kod etika induk pada 1989 dan ia menggugurkan perkataan ‘mengekang komunisme’ kerana komunisme ini tidak lagi wujud di Malaysia.
“Kod etika wartawan dalam konteks Jabatan Penerangan (JaPen) adalah bagi pengeluaran kad perakuan media.
“Ini berasaskan kod etika wartawan induk 1989 dan jika pada masa depan dengan pembentukan Majlis Media Malaysia ia mahu digunakan atau tidak, itu bergantung kepada majlis berkenaan,” katanya. – UTUSAN










