JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Projek Sakit dan Terbengkalai (JSTP) menyasarkan untuk menyelesaikan lima projek sakit serta satu projek terbengkalai melibatkan hartanah bernilai lebih RM700 juta pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, projek tersebut melibatkan 1,928 unit rumah di empat daerah.
Menurutnya, kesemua projek itu mampu diselesaikan dengan penglibatan pelbagai pihak di bawah JSTP, iaitu Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) serta semua agensi teknikal.
“Pada 2022 dan 2023, kerajaan negeri berjaya menyelesaikan lima projek sakit dengan nilai hartanah kira-kira RM300 juta dan pada tahun ini kita sasarkan untuk menyelesaikan lagi lima projek sakit dan satu projek terbengkalai.
“Dalam tempoh tiga tahun ini, hingga hujung tahun ini, nilai hartanah projek sakit dan terbengkalai yang telah dan akan diselesaikan mencecah RM1 bilion, membabitkan 3,500 unit,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Homebuyer Review Committee (HRC) di Residensi Larkin Indah, di sini semalam.
Mohd. Jafni berkata, lima projek sakit yang akan diselesaikan pada tahun ini ialah Taman Desa, Tangkak; Taman Sri Unas Permai, Muar; Taman Residensi Larkin Indah dan Taman Molek Perdana, Johor Bahru serta Taman Impiana Kulai, Kulai melibatkan sebanyak 1,538 unit rumah, manakala bagi projek terbengkalai melibatkan 390 unit di Taman Kulai Utama.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 30 projek sakit dikenal pasti di negeri itu dan ada daripadanya telah berlarutan sejak lebih 20 tahun lalu disebab beberapa faktor, antaranya kerana melibatkan proses undang-undang termasuk pemilik hartanah meninggal dunia menyebabkan prosesnya mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
Terdahulu, Mohd. Jafni menyerahkan Sijil Notis Milikan Kosong (VP) kepada sebahagian pembeli Residensi Larkin Indah selepas pojek terbabit yang tertangguh lebih dua tahun.
Residensi Larkin Indah terdiri daripada 1,174 unit kediaman di atas tanah seluas 2.81 hektar serta mempunyai pelbagai kemudahan seperti surau, taska, tadika, dewan serbaguna, taman permainan dan gelanggang badminton.
Projek berkenaan adalah antara enam projek PR1MA di Johor selain Residensi Tebrau, Residensi Taman Nusantara, Residensi Layangkasa, Residensi Kota Tinggi dan Residensi Pelangi Indah. –UTUSAN
.










