'Jho Low ugut jadikan hidup saya seperti di neraka'

‘Jho Low ugut jadikan hidup saya seperti di neraka’

JASMINE Loo Ai Swan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Penasihat Undang-Undang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan memberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low akan membuatkan kehidupannya seperti di neraka sekiranya beliau pulang ke Malaysia.

Takut dengan keselamatan dirinya, Jasmine `memilih’ untuk berada di luar negara lebih kurang lima tahun.

“Saya tiada niat untuk melarikan diri. Saya telah berada di Bangkok, Thailand ketika Pilihan Raya Umum ke-14 dan apabila keputusan pilihanraya keluar dan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib kalah, saya telah diarahkan oleh Jho Low untuk kekal berada di luar negara dan jangan pulang ke Malaysia.

“Katanya, situasi akan menjadi teruk buat saya sekiranya saya pulang. Jho Low kata, Jho Low berjanji akan menguruskan segalanya,”katanya.

Selain itu, dia juga menerima ugutan daripada Jho Low sekiranya beliau pulang ke Malaysia.

“Sebelum balik ke Malaysia, saya pernah menerima ugutan (daripada Jho Low). Jho Low bersumpah akan menjadikan kehidupan saya seperti di neraka dan beliau akan menggunakan segala sumber serta kuasa yang ada bagi memastikan saya akan ada kehidupan yang sangat teruk sekiranya pulang ke Malaysia,” ujar Jasmine.

Namun, ujar wanita itu, beliau tetap menyimpan hasrat untuk pulang ke negara ini dan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa namun tidak dapat berbuat demikian kerana tidak menjumpai jalan selamat untuk kembali ke tanah air.

Disoal mengenai cara beliau menampung kehidupannya selama lima tahun di luar negara tanpa bekerja, Jasmine menyatakan satiap tujuh atau lapan bulan, seseorang yang tidak dikenalinya akan memberikan AS$2,500 kepadanya. Wang tersebut adalah daripada Jho Low untuk digunakan sehingga pemberian wang yang selanjutnya.

“Memang sesuatu yang keji untuk bergantung hidup kepada seseorang yang telah bersumpah untuk menjadikan kehidupan saya seperti di neraka tetapi saya tiada pilihan lain untuk meneruskan kehidupan. Saya tiada mempunyai sumber lain.

“Saya sedang cuba untuk meneruskan kehidupan dan dalam masa sama, mencari jalan untuk balik ke Malaysia dengan selamat dan tanpa diketahui oleh Jho Low. Saya ingin kembali (ke Malaysia) tetapi saya seperti `terperangkap’. Saya sedang berjuang untuk nyawa saya,”kata Jasmine.

Tambahnya, sewaktu berada di Bangkok, beliau mengetahui mengenai situasi yang berlaku terhadap pemberi maklumat berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB), warga Switzerland, Xavier Andre Justo yang dipenjara di Negara Gajah Putih itu.

“Saya tidak mahu menjadi Justo kedua,”ujarnya.

Oleh itu, beliau kemudian menghubungi peguam di negara ini dan berbincang cara untuk kembali ke Malaysia dengan selamat namun semuanya tertangguh ekoran pandemik Covid 19.

Jasmine menyatakan, sekitar April 2021, peguamnya kemudian telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara dengan menawarkan kerjasama dengan pihak berkuasa berhubung skandal penyelewengan dana 1MDB itu sebagai ganti kepada laluan selamat untuk pulang ke negara ini.

Jasmine dibawa pulang ke Malaysia pada 7 Julai 2023 dan mula memberikan keterangan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) selepas tiba di negara ini.

Pada 3 Mei 2023, seorang lagi `sekutu’ Jho Low iaitu Kee Kok Thiam telah ditahan SPRM selepas pesawat yang membawanya dari Macau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Lelaki berusia 51 tahun itu dihantar pulang dari Macau kerana tinggal di wilayah itu melebihi tempoh visa.

Lelaki terbabit bagaimanapun meninggal dunia akibat strok pada 29 Mei 2023 ketika siasatan SPRM terhadap lelaki itu masih lagi berjalan.

Media ketika itu turut melaporkan bahawa Kok Thiam mengesahkan dia bertemu Jho Low dan beberapa suspek 1MDB yang lain, termasuk Eric Tan Kim Loong, Casey Tang Keng Chee, Geh Choh Heng dan Nik Faisal di Macau.

Katanya, Jho Low juga berpesan kepada Kok Thiam supaya ‘tidak pulang ke Malaysia’ sebagai saksi dalam kes 1MDB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN