Jawatankuasa pilihan khas di Parlimen sudah cukup untuk pantau Kerajaan Perpaduan 

Jawatankuasa pilihan khas di Parlimen sudah cukup untuk pantau Kerajaan Perpaduan 

FAHMI FADZIL 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan memberi tumpuan kepada khidmat mereka menerusi jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan di Parlimen dan tidak hanya melakukan pemantauan menerusi Kabinet bayangan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa pilihan khas adalah forum terbaik untuk memantau perjalanan setiap kementerian dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, jawatankuasa pilihan khas itu juga dianggotai Ahli Parlimen merentasi parti politik dan berupaya memainkan peranan semak imbang dengan lebih berkesan.

“Jadi saya sarankan kepada rakan dalam PN untuk berkhidmat dengan baik melalui jawatankuasa pilihan khas yang boleh bersidang pada bila-bila masa,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini, ketika ditanya sama ada pembentukan Kabinet bayangan PN memberi kesan kepada Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Ditanya mengenai peranan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang memegang portfolio berkaitan komunikasi dalam Kabinet bayangan berkenaan, Fahmi berkata, pihaknya meneliti semua kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen itu berkaitan isu yang berkait dengan kementeriannya.

“Tetapi sekiranya ada sebarang perkara diibangkitkan oleh beliau atau sesiapapun berkenaan dengan isu komunikasi, jadi sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menjawabnya di Parlimen. Jadi, tiada yang istimewa mengenai beliau (Wan Saiful),” katanya.

Tahun lalu, PN mengumumkan barisan ‘Kabinet’ mereka yang akan menyelaraskan pengurusan parti itu sebagai pembangkang di Parlimen.

Ditanya mengenai isu peletakan jawatan beberapa pegawai pengurusan kanan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), beliau berkata, perkara itu tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Kami belum lagi menerima pemakluman terkini, apakah statusnya, tetapi saya percaya Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan ada meneliti perkara ini. Sekiranya ada pemakluman nanti, akan diumumkan kemudian,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan tiga pegawai kanan pengurusan LTAT meletakkan jawatan mereka sejak sebulan lalu dalam tabung persaraan untuk 120,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu. Ia membabitkan peletakkan jawatan Pengerusinya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; Ketua Eksekutif, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan Pengarah Kanan Strategi, Dayana Rogayah Omar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN