Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan pantau isu mahkamah syariah

Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan pantau isu mahkamah syariah

MOHD NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kehakiman Syariah Kebangsaan bagi memantau sebarang isu membabitkan mahkamah syariah di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, jawatankuasa yang berada di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) itu sudah pun diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja pada sidang lalu.

Beliau berkata, anggota-anggota bagi jawatankuasa itu termasuklah Ketua Hakim Syariah negeri.

“Nama anggota jawatankuasa ini sudah dipersembahkan dan akan dimuktamadkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang pada 21 Februari ini,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Pelancaran Kempen Kebersihan Tandas masjid dan Surau Bertaraf Lima Bintang peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Mahmoodiah di sini, hari ini.

Katanya, jawatankuasa itu bersifat kekal di bawah MKI berbanding Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibentuk secara interim (sementara).

Mohd Na’im berkata, jawatankuasa baharu itu akan memainkan peranan untuk melihat isu yang berlaku di mahkamah syariah sepanjang masa.

Ditanya berhubung Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN, Mohd Na’im berkata, jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Tun Zaki Azmi itu sudah bersidang sebanyak lapan kali sejak Disember tahun lalu.

Katanya, jawatankuasa ini juga akan mengkaji kesan perundangan membabitkan isu penghakiman terhadap kes peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan kes Iki Putra Mubarak baru-baru ini.

“Jawatankuasa ini berperanan menyediakan syor selain meneliti secara meluas bagaimana institusi mahkamah syariah boleh terus dimartabatkan, dilindungi dan diperkasakan.

“Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI perkenan memberi tempoh setahun untuk jawatankuasa ini menyediakan syor, itu tempoh masa yang diberikan tuanku.

“Tempoh setahun itu sebab rujukan kepada jawatankuasa khas ini bukan sahaja merujuk kepada keputusan kes Nik Elin atau kes Iki Putra sahaja tetapi ia lebih luas,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Na’im berkata, pihaknya mencadangkan supaya Jabatan Penguatkuasaan Syariah diwujudkan di setiap negeri bagi memperkasakan lagi undang-undang syariah.

Menurutnya, buat masa ini Jabatan Agama Islam Negeri hanya mempunyai bahagian penguatkuasaan dan bukan sebagai sebuah jabatan.

“Sebagai contoh di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), dahulu ada bahagian pendakwaan syariah dan sekarang bahagian itu sudah menjadi Jabatan Pendakwaan Syariah, namun bahagian penguatkuasaan masih di bawah JAWI.

“Jadi untuk memastikan supaya bahagian penguatkuasaan ini boleh bertindak secara bebas tanpa dipengaruhi secara eksekutif maka, ada keperluan untuk menjadikannya sebagai sebuah jabatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN