PETALING JAYA: “Aku membuka beg plastik dan melihat jasad ketiga-tiga anakku berkecai, tidak berkepala, tidak bertangan bahkan tidak ada satu pun anggota tubuh mereka yang tak bersalah dalam keadaan sempurna. Hanya sisa pakaian membuatkan aku mengenali mereka.”
Begitulah coretan seorang lelaki Palestin dari Semenanjung Gaza, Mustafa Ali Abu Muammar. Dia bukan sahaja kehilangan ibunya malah isteri dan ketiga-tiga anaknya yang masih kecil juga terkorban akibat kekejaman tentera Israel di wilayah tersebut sejak 7 Oktober tahun lalu.
Dalam coretan berbahasa Arab yang dikongsikan Cinta Gaza Malaysia (CGM) kepada Utusan Malaysia, Mustafa Ali tidak berkongsikan nama ibu dan isterinya namun mengabadikan nama ketiga-tiga anaknya iaitu Batoul, 7, Ali, 5, dan Hani yang baru sahaja menjengah usia dua tahun.
Antara lain, Mustafa Ali meluahkan bagaimana orang dikasihinya ‘diragut’ rejim Zionis dengan hanya satu bedilan bom terhadap kediaman mereka.
Bagaimanapun ia adalah ‘suasana biasa’ saban hari yang dilalui oleh setiap rakyat Palestin di Gaza ketika ini.
“Ibu, isteri dan anak-anak adalah segala-galanya bagi aku sehinggakan jika cinta ini disebarkan ke seluruh alam semesta, tidak akan ada ruang yang mampu menampung kasih sayang ini untuk mereka.
“Mereka kini sudah pergi bertemu Ilahi akibat perbuatan jenayah terkeji dan tanpa keadilan,” luahnya sambil mengucapkan Alhamdulillah sebagai tanda reda dengan pemergian ibu, isteri dan ketiga-tiga anaknya.
Menurutnya, dia tidak mahu darah ibu, isteri dan anak-anaknya yang tertumpah itu pergi dengan sia-sia bahkan mahukan kematian hampir 28,000 rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Zionis dibalas oleh pejuang mujahidin.
“Kami kini berada di tengah-tengah peperangan. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada orang tersayang dengan air mata kepada yang maha Esa, kemudian kami membalut luka dan bangkit melawan.
“Bayangkan, tiada masa untuk berduka. Tiada waktu untuk bersimpati. Tiada sesiapa akan memujuk kamu. Semua kelembutan yang ada sudah terkubur,” katanya.
Mustafa Ali berkata, coretan itu ditulis kepada dunia kerana rakyat Palestin menganggap masyarakat antarabangsa bebas bersuara dan mampu menggerakkan hati nurani di sebalik kekecewaan dan ketidakadilan yang sedang berlaku di tanah airnya.
Tambahnya, kesengsaraan rakyat Palestin harus ditamatkan dan ketabahan mereka perlu diberikan kemenangan yang setimpal dengan pengorbanan serta kebangkitannya melawan ketidakadilan.
“Dunia harus tahu bahawa kami berhak diberi kebebasan untuk menghancurkan musuh terkeji ini dan untuk hidup bermaruah selama-lamanya.
“Aku tahu aku akan syahid, Insya-Allah, dan aku tak sabar bertemu Allah SWT, RasulNya, ibuku, isteriku dan anak-anakku di syurga, tetapi coretan ini ditulis supaya darah yang tertumpah tidak dipersiakan supaya suara kami didengari.
“Kesunyian tanpa keadilan dan pengkhianatan menggoncang hati ini, tetapi kami membalut luka di hati dan bangkit menentang. Demi Allah, kami tidak akan tunduk,” katanya. – UTUSAN










