KOTA BHARU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan sudah mengambil sampel air Sungai Ketil berhampiran kawasan rekreasi Rimba Wangi, Gua Musang yang didakwa berubah menjadi hitam setiap kali hujung minggu atau cuti umum.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarahnya Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, pengambilan sampel air itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan lanjut berkait dengan pencemaran tersebut.
Menurutnya, ketika ini JAS Kelantan sedang menunggu keputusan penuh laporan hasil analisis yang dilakukan ke atas sampel air di sungai berkenaan.
“Jika wujud pelanggaran, kita (JAS Kelantan) akan mengambil tindakan ke atas mereka yang terlibat,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Wan Aminordin memberitahu, JAS Kelantan sudah menghantar pegawai di Gua Musang untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran itu berlaku.
Katanya, pihaknya sentiasa mengambil serius setiap laporan yang dibuat berkait soal pencemaran alam sekitar di negeri ini.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 2,000 penduduk di Taman Wangi di sini resah apabila air Sungai Ketil berhampiran kawasan rekreasi Rimba Wangi berubah menjadi hitam setiap kali hujung minggu atau cuti umum.
Dakwa penduduk, masalah tersebut dikesan berlaku lebih tiga tahun lalu sehingga menyebabkan ribuan bangkai ikan ditemukan terapung pada tahun 2021 dipercayai berpunca daripada sisa buangan dari kilang yang terletak 1.5 kilometer dari kawasan sungai itu.
Seorang penduduk, Wan Jasmy Wan Abdullah, 42, berkata, perubahan warna itu mula dikesan berlaku pada Jumaat lalu.
“Pagi semalam air nampak teruk dan hitam. Bagaimanapun, waktu petang air sudah nampak bersih kerana aliran air Sungai Ketil di kawasan ini yang deras.
“Kami tidak tahu sisa buangan apa yang dibuang tetapi pastinya kualiti air kerap bertukar hitam dan penduduk juga pernah terjumpa banyak ikan mati,” ujarnya. – UTUSAN










