Isu Nik Elin: Hati-hati mengulas, elak timbul keresahan rakyat - Mohd Na'im

Isu Nik Elin: Hati-hati mengulas, elak timbul keresahan rakyat – Mohd Na’im

MOHD Na'im Mokhtar menampal penggredan tandas awam selepas melancarkan Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau Bertaraf 5 Bintang di Masjid Mahmoodiah Presint 18 Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Orang ramai terutama pempengaruh media sosial diminta supaya berhati-hati dalam mengulas isu penghakiman Mahkamah Persekutuan baru-baru ini bagi mengelak keresahan rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, isu pembatalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 itu bukan perkara kecil dan ia perlu didasari fakta yang tepat.

Beliau berkata, perkara itu penting bagi mengelak sebarang tindakan daripada pihak berkuasa kerana menghina mahkamah.

“Saya dapati ada yang buat video parodi berhubung isu itu dan kemudian kata tak betul, lepas itu tarik balik.

“Selepas sedar ada laporan polis dibuat baru tahu benda (video parodi) itu tak betul. Ini akan menimbulkan keresahan kepada rakyat.

“Apabila kita nak bercakap sesuatu, mestilah didasarkan kepada fakta bukan nak dapatkan populariti yang akhirnya menjerat diri,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kebersihan Tandas Masjid dan Surau 5 Bintang peringkat Wilayah Persekutuan, di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, hari ini.

Sebelum ini, seorang pempengaruh media sosial, Dd Chronicle atau Dediy Sulaeman Ra’e, 43, yang didakwa mempersendakan agama dan menghina mahkamah selepas memuat naik satu video parodi mengenai isu itu.

Video berdurasi tiga minit 55 saat itu  memaparkan tindakan pempengaruh itu melakonkan semula perbuatan minum arak dan berjudi tidak akan dikenakan hukuman.

Ia kemudian mendapat reaksi warganet dan mereka meminta supaya pihak berkuasa mengenakan tindakan terhadap lelaki tersebut kerana sudah melampaui batas.

Susulan itu, Dediy tampil memohon maaf terhadap perbuatannya dan menjelaskan tindakan tersebut tidak mempunyai niat untuk menghasut mana-mana pihak.

Bagaimanapun, Pemuda Amanah membuat 30 laporan polis di seluruh negara sejak semalam bagi meminta pihak berkuasa menyiasat perkara itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN